WASHINGTON – Imej baharu diperoleh secara eksklusif oleh media Amerika Syarikat, CBS News mendedahkan skala kerosakan jauh lebih besar terhadap beberapa pangkalan dan kedudukan tentera AS di Asia Barat susulan serangan peluru berpandu dan dron Iran.
Imej berkenaan menunjukkan pesawat radar musnah, bangunan dan kemudahan ketenteraan mengalami kerosakan teruk serta kenderaan tentera rosak akibat serangan Iran di beberapa lokasi termasuk Arab Saudi dan Kuwait.
Antara imej paling ketara menunjukkan sebuah pesawat amaran awal udara Boeing E-3 Sentry di Pangkalan Udara Prince Sultan, Arab Saudi, mengalami kerosakan besar selepas dipercayai terkena serangan.
Bahagian ekor pesawat itu dilihat terputus daripada badan yang turut menempatkan sistem radar berputar bagi operasi pengawasan udara.
CBS News melaporkan, gambar itu dihantar anggota tentera AS yang sedang berkhidmat di rantau itu dan diberikan secara tanpa nama kerana sekatan ketat terhadap penyebaran maklumat mengenai kerosakan pangkalan tentera.
Di Kuwait pula, gambar menunjukkan kerosakan pada bangunan dan kenderaan di Camp Buehring, antara kawasan penting untuk penempatan anggota tentera darat, kenderaan berperisai dan aset sokongan AS.
Kerosakan turut dilaporkan di Camp Arifjan, satu lagi kemudahan utama tentera AS di Kuwait.
Pendedahan itu muncul sehari selepas laporan Ketua Inspektor Jeneral Jabatan Pertahanan AS mendedahkan serangan Iran telah menyebabkan ratusan bangunan dan struktur di pangkalan tentera AS di rantau berkenaan rosak atau musnah.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Laporan tersebut merangkumi kemudahan AS di Kuwait, Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Iraq, Oman dan Jordan.
Menurut penilaian Pentagon, sehingga 29 Jun lalu, konflik itu melibatkan kos kira-kira AS$33.4 bilion kepada AS. Dari jumlah itu, AS$22.3 bilion membabitkan penggunaan peluru dan senjata, AS$3.7 bilion lagi dikaitkan dengan kehilangan atau kerosakan peralatan ketenteraan, manakala AS$7.4 bilion, adalah kos operasi tambahan berkaitan konflik.
Bagaimanapun, angka berkenaan tidak termasuk kos membaiki infrastruktur yang rosak, kerana Jabatan Pertahanan AS belum menentukan bentuk dan skala pembinaan semula pangkalan di rantau berkenaan.
Laporan pemeriksa jeneral itu turut menunjukkan kehilangan atau kerosakan terhadap puluhan pesawat dan aset udara AS, termasuk dron MQ-9 Reaper, pesawat tangki KC-135 serta beberapa pesawat pejuang.
Serangan terbaru itu berlaku selepas beberapa siri serangan Iran terhadap kepentingan dan kemudahan ketenteraan AS di Asia Barat sepanjang konflik tersebut.
Antara serangan yang mendapat perhatian besar berlaku pada 23 Jun 2025, apabila Iran melancarkan peluru berpandu ke arah Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar, yang menempatkan kemudahan utama tentera AS.
Serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas kemudahan nuklear Iran. Pihak Qatar dan AS ketika itu menyatakan serangan berjaya dipintas sistem pertahanan udara dan tiada kematian dilaporkan.
Iran terlebih dahulu memberi amaran mengenai serangan tersebut, menyebabkan beberapa negara di rantau berkenaan mengambil langkah keselamatan termasuk penutupan sementara ruang udara.
Ketegangan kemudian meningkat dengan serangan Iran yang menyasarkan pelbagai kedudukan AS dan kemudahan sokongan tentera di rantau tersebut.
Pada 1 Mac 2026, serangan Iran terhadap sebuah lokasi AS di Kuwait turut mengakibatkan kematian anggota tentera Amerika, menurut laporan CBS News.
Insiden itu kemudian menjadi antara episod paling serius dalam siri serangan terhadap kedudukan AS di rantau berkenaan. Pada bulan berikutnya, serangan menggunakan peluru berpandu dan dron dilaporkan berlaku terhadap kemudahan AS di beberapa negara.
CBS News sebelum ini melaporkan hampir 100 anggota tentera AS mengalami kecederaan dalam beberapa serangan udara Iran terhadap pangkalan AS pada Julai 2026, manakala Pentagon mengesahkan 96 peratus daripada mereka yang mengalami kecederaan ketika itu telah kembali bertugas.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
