PRU16: Parti Politik Berunding, Tapi Masing-masing Mahu Kepentingan Terjamin

Dari Meja Editorial ND

PILIHAN Raya Umum Ke-16 (PRU16) mungkin masih mempunyai ruang masa sebelum Parlimen perlu dibubarkan, namun perkembangan politik semasa menunjukkan parti-parti sudah semakin serius menyusun strategi masing-masing.

Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, Parlimen boleh dibubarkan lebih awal atau, jika tidak dibubarkan, akan terbubar secara automatik selepas lima tahun daripada tarikh mesyuarat pertamanya.

Parlimen ke-15 mula bersidang pada 19 Disember 2022. Selepas pembubaran, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. Ini bermakna, dari sudut politik, tempoh yang tinggal bukanlah terlalu panjang jika diambil kira keperluan parti menyediakan calon, menyusun jentera pilihan raya, menentukan kawasan hendak ditandingi, merundingkan pembahagian kerusi dan paling penting, menentukan dengan siapa mereka mahu bekerjasama.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

PRU15 memberi satu pengajaran besar kepada semua parti politik. Tiada satu parti atau gabungan muncul dengan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Parlimen yang tergantung selepas PRU15 akhirnya membawa kepada pembentukan kerajaan melalui kerjasama antara beberapa parti dan gabungan.

Dokumen rasmi Parlimen sendiri merekodkan, selepas PRU15 tiada parti atau gabungan dominan memperoleh majoriti mudah dan proses pembentukan kerajaan memerlukan persefahaman politik. Pengalaman itu menyebabkan strategi menghadapi PRU16 menjadi lebih kompleks.

Kali ini, parti-parti bukan sahaja perlu memikirkan bagaimana hendak memenangi kerusi, tetapi juga bagaimana memastikan keputusan pilihan raya tidak sekali lagi menyebabkan mereka terpaksa mencari rakan selepas keputusan diumumkan.

Atas sebab itu, rundingan politik sebelum pilihan raya menjadi semakin penting. Apa berlaku sekarang memperlihatkan parti-parti politik mula memberi perhatian kepada kemungkinan kerjasama sebelum PRU, bukannya menunggu keputusan pilihan raya sebelum menentukan siapa boleh membentuk kerajaan.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

BN, PH dan PN mempunyai kepentingan masing-masing untuk memastikan mereka tidak memasuki PRU16 dalam keadaan berpecah sehingga undi dan kerusi sepatutnya boleh dimenangi akhirnya terbahagi kepada beberapa penjuru.

Dalam perkembangan terbaharu, hubungan BN-PAS menjadi antara perkara yang mendapat perhatian. Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada awal September mengesahkan rundingan dengan BN masih berlangsung dan belum dimuktamadkan.

Beliau turut mengesahkan perbincangan antara BN dan PN telah dimulakan. Pada masa sama, BN masih menyatakan komitmennya untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal. Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu selaras dengan resolusi Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Ini menunjukkan satu perkara penting dalam politik: kerjasama dalam kerajaan tidak semestinya sama dengan formula kerjasama untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Parti boleh duduk bersama dalam kerajaan hari ini, tetapi pada masa sama masih berunding mengenai bentuk kerjasama akan digunakan ketika PRU16. Bagi BN, khususnya UMNO, persoalan terbesar ialah bagaimana untuk memperkukuh kedudukan tanpa menyebabkan terlalu banyak kerusi diserahkan kepada rakan kerjasama.

Kerjasama dengan PAS, misalnya mempunyai potensi mengurangkan pertandingan tiga penjuru di kawasan tertentu. Namun, rundingan seperti ini semestinya membawa persoalan pembahagian kerusi.

Siapa mempertahankan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu? Bagaimana menentukan kawasan yang mempunyai pertindihan kekuatan? Dan, jika kerjasama itu berjaya membentuk kerajaan, parti mana mempunyai hak untuk menuntut jawatan utama?

Inilah sebabnya pembahagian kerusi tidak boleh dilihat sebagai soal angka semata-mata. Sebuah parti mungkin bersetuju memberikan beberapa kerusi kepada rakan kerjasama, tetapi ia tentu mahu memastikan kerusi diserahkan bukanlah kerusi mempunyai nilai strategik tinggi kepada parti berkenaan.

Penganalisis politik juga melihat isu pembahagian kerusi sebagai antara cabaran terbesar sekiranya BN dan PN mahu membentuk kerjasama lebih tersusun. Dengan kata lain, setiap parti mahu bekerjasama, tetapi kerjasama itu mesti memberi pulangan politik yang munasabah kepada semua pihak.

Bagi PAS, perkembangan politik selepas PRU15 telah meningkatkan kedudukannya sebagai antara parti utama yang mempunyai pengaruh besar di kawasan majoriti Melayu. Maka, jika PAS berbincang dengan BN, rundingan itu bukan sekadar mengenai berapa banyak kerusi boleh diberikan kepada PAS.

Ia juga menyentuh persoalan kedudukan PAS dalam struktur kuasa selepas pilihan raya. Jika sebuah parti mempunyai jumlah kerusi besar, jentera tersusun dan kawasan pengaruh yang luas, parti itu tentunya mempunyai asas untuk meminta peranan setimpal dalam kerajaan.

Sebab itu persoalan siapa Perdana Menteri dan siapa Timbalan Perdana Menteri boleh menjadi antara perkara yang sensitif dalam rundingan. Logiknya mudah. Jika kamu mahu aku membantu kamu membentuk kerajaan, maka kamu tidak boleh menganggap aku hanya sebagai pelengkap angka.

Jika kamu mahu aku memberikan kerusi, jentera dan sokongan pengundi, maka kedudukan aku dalam kerajaan selepas pilihan raya juga perlu dibincangkan. Itulah realiti rundingan politik.

Bagi PH, kepentingan utamanya adalah mempertahankan kedudukan sebagai teras kerajaan Persekutuan yang terbentuk selepas PRU15. Ini memberikan PH peluang untuk memerintah bersama BN dan parti-parti lain. Dalam konteks PRU16, sama ada formula tersebut boleh diteruskan atau sebaliknya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyatakan keutamaan kepada kestabilan politik dan kesinambungan kerjasama dengan UMNO-BN di peringkat Persekutuan. Namun, pada masa sama, PH tidak boleh menganggap semua rakan politik akan kekal dengan formula sama sehingga PRU16.

Perkembangan politik boleh berubah. Parti-parti boleh menukar pendirian. Kepentingan negeri boleh berbeza daripada kepentingan Persekutuan. Malah, PH juga terbuka kepada kemungkinan kerjasama politik yang lebih luas berdasarkan syarat tertentu.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari pernah berkata, PH terbuka mempertimbangkan kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan jika ia berasaskan kestabilan politik dan kepentingan rakyat, walaupun beliau menegaskan ketika itu belum ada perbincangan rasmi dengan Bersatu.

Ini menunjukkan pintu rundingan politik masih terbuka, tetapi belum semestinya bermaksud sesuatu pakatan telah diputuskan. Bagi PN, persoalan yang lebih besar ialah bagaimana gabungan itu mahu memasuki PRU16 selepas perubahan hubungan antara parti komponennya.

PAS dan Bersatu sebelum ini menjadi dua komponen utama PN, tetapi perkembangan 2026 menunjukkan hubungan kedua-duanya berubah dengan ketara. Analisis politik semasa melihat perkembangan itu berpotensi membuka ruang kepada pembentukan pakatan baharu dalam politik Melayu.

PAS kini turut membuka ruang rundingan dengan BN. Dalam keadaan ini, Bersatu perlu menentukan kedudukannya sendiri, manakala PN pula perlu menentukan sama ada akan bergerak sebagai gabungan yang kukuh atau menghadapi persaingan dalaman yang lebih besar.

Ini menjadikan PRU16 bukan sekadar pertandingan antara PH, BN dan PN seperti yang dikenali sebelum ini.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *