BERITA UTAMA

Pemuda UMNO teruskan boikot KK Mart

KUALA LUMPUR – Kalau Pemuda MCA mengakui isu penjualan stokin tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart sangat mendukacitakan dan melukakan hati orang Melayu serta Islam, apatah lagi Pemuda UMNO dan orang Melayu keseluruhannya, kata Ketuanya, Dr. Akmal Saleh.

Beliau bagaimanapun, mengucapkan terima kasih atas pandangan Pemuda MCA yang sudi mengambil berat isu itu.

“Kita menegaskan, Pemuda UMNO adalah pejuang barisan hadapan orang Melayu, bumiputera dan orang Islam negara ini.

“Pemuda UMNO tidak bertuankan sesiapa. Ketaatan dan kesetiaan hakiki sayap parti keramat orang Melayu ini adalah kepada rakyat, yang majoritinya kaum bumiputera.

“Pemuda UMNO mewakili sentimen orang Melayu dan Islam terbanyak di negara ini. Apa yang kita suarakan adalah suara hati dukacita orang Melayu,” ujar beliau menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau menyatakan, Pemuda MCA, DAP dan semua pihak lain, telah berada dalam negara ini lebih 60 tahun dan sepatutnya faham serta boleh menghayati kedudukan nama Allah dan kesuciannya itu adalah suatu isu yang tidak ada tolok bandingnya.

“Jangan ambil mudah dan meremehkan. Jangan bermudah-mudahan.

“Kita nasihatkan MCA, DAP dan pihak lain, turun ke bawah. Jumpa orang Melayu, Islam dan tanya perasaan mereka.

“Ini sebenarnya bukan isu orang Melayu, Islam sahaja, sebaliknya disebabkan apa yang belaku, ia merosakkan hubungan kaum di Malaysia. Islam adalah agama persekutuan negara kita. Penghinaan ini adalah isu semua rakyat Malaysia,” katanya.

Kata Dr. Akmal, Pemuda UMNO sentiasa bertenang dan tidak minta rakyat merusuh, malah mengambil jalan yang selaras dengan undang-undang.

Tetapi, ujarnya, isu itu mesti ada pertanggungjawaban dan pihak KK Mart mesti dipertanggungjawabkan.

“Untuk kesalahan yang begitu serius ini, dengan kesan yang begitu besar, takkan pula satu permohonan maaf sudah menyelesaikan segala-galanya.

“Kalau begitu, kita menyampaikan mesej yang salah dan sangat merbahaya kepada rakyat di negara ini.

“Kita minta boikot kalau benar-benar KK Mart masih sombong dan enggan penuhi tuntutan,” katanya.

Beliau mengingatkan kepada pihak KK Mart, apa yang diinginkan Pemuda UMNO ialah keseriusan mereka memohon maaf kalau betul-betul insaf dan kesal.

“Buatlah seperti yang dituntut,” katanya. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *