BERITA UTAMA

Mengenal ciri-ciri perlakuan jenayah rasuah

Oleh: Malaysia Corruption Watch (MCW)

TERDAPAT beberapa ciri penting untuk memahami seseorang individu itu telah terlibat dalam perlakuan jenayah rasuah. Antaranya ialah;

Pertama, perilakunya melibatkan sekurang-kurangnya dua “pelakon” yang berada di dalam dua pihak. Satu pihak ialah pemberi suapan rasuah dan satu pihak penerima suapan rasuah.

Contohnya, seorang pegawai penguatkuasa telah menahan pemandu kenderaan yang memandu tanpa lesen. Pemandu itu menawarkan wang rasuah berjumlah RM200 untuk mengelak dari di saman. Pegawai berkenaan pula setuju terima wang itu dan sebagai balasannya, pegawai itu tidak mengeluarkan saman kepada pemandu tersebut.

Kedua-dua pelaku saling mendapat untung iaitu pemberi suapan rasuah tidak disaman kerana kesalahan lalu lintas dilakukannya, manakala penerima suapan rasuah iaitu pegawai penguatkuasa mendapat “untung” kerana menerima habuan rasuah;

Kedua, pelaku jenayah rasuah bertindak secara bersendirian pula adalah berkaitan seseorang yang melakukan perbuatan mengemukakan dokumen atau tuntutan palsu.

Sebagai contoh, seorang kontraktor telah mengemukakan tuntutan bayaran kemajuan kerja pembinaan sebuah bangunan tambahan untuk pejabat kerajaan dengan menyatakan kerja telah siap sebanyak 60 peratus untuk tujuan mendapatkan bayaran kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), sedangkan hanya 40 peratus sahaja kerja-kerja yang disiapkan;

Ketiga, pemberi suapan rasuah mempunyai muslihat atau tujuan tertentu untuk mengikat atau mengawal diri penerima suapan rasuah kepadanya dan berkehendakkan penerima suapan rasuah bertindak memihak bagi kepentingan dirinya.

Sebagai contoh, seorang pegawai kanan sebuah kementerian yang telah menerima hadiah berupa pakej melancong ke luar negara yang ditaja oleh kontraktor yang pernah mendapat tender dari kementeriannya.

Hal ini telah menyebabkan dia termakan budi atau meletakkan dirinya dalam keadaan tersepit jika tidak membantu kontraktor tersebut untuk mendapatkan tender baru yang dipohon oleh kontraktor tersebut;

Keempat, perbuatan jenayah rasuah dilakukan secara sulit atau bersembunyi di antara pihak-pihak terlibat, melainkan apabila jenayah rasuah telah begitu berleluasa dan berakar umbi di mana tiada siapa lagi yang mempedulikannya atau terdapat beberapa individu tertentu yang berpengaruh dan tidak takut kepada undang-undang telah melindungi mereka;

Kelima, motif untuk melakukan jenayah rasuah itu masih lagi rahsia dan secara bersembunyi. Perbuatan jenayah itu dilakukan sukar dikesan oleh pihak berkuasa kerana suapan rasuah itu melibatkan transaksi melalui sistem perbankan alam maya atau menggunakan proksi yang sukar dikesan siapa yang terlibat menjadi barua kepada perasuah itu.

Hal ini kerana kedua-dua pihak iaitu pemberi dan penerima sama-sama memperoleh keuntungan dari segi kewangan dan juga keistimewaan tertentu;

Keenam, perlakuan jenayah rasuah juga berkait dengan elemen-elemen pujukan, paksaan atau ugutan. Fenomena ini wujud apabila pada peringkat awal penglibatan penerima suapan rasuah terutamanya pegawai awam termakan pujukan pihak pemberi suapan rasuah supaya meluluskan kontrak atau lesen dengan mengumpan pegawai awam itu dengan habuan wang, tawaran melancong atau hiburan.

Lama kelamaan ianya menjadi unsur paksaan atau ugutan kepada penerima suapan rasuah sekiranya penerima suapan rasuah mula menyedari dia tersalah langkah dan tidak mahu lagi mengulangi perbuatan menerima sogokan bagi menimbang dan meluluskan kontrak atau projek kepada pemberi rasuah berkenaan.

Pemberi suapan rasuah akan mengugut untuk melaporkan kepada SPRM mengenai kegiatan jenayah rasuah yang pernah dilakukan oleh pegawai awam tersebut dengan mengemukakan bukti penerimaan habuan rasuah seperti resit hotel, tiket kapal terbang atau transaksi wang yang sukar untuk penerima suapan rasuah itu menafikan;

Ketujuh, jika penerima suapan rasuah itu pegawai awam atau mempunyai majikan, dia telah melakukan satu kesalahan pecah amanah kepada tugasnya, tidak jujur, salah guna kuasa diamanahkan, menipu majikan sah dan melanggar perjanjiannya sebagai pekerja dengan prinsipal atau majikan asalnya.

Dalam keadaan ini, penerima suapan rasuah mempunyai majikan yang sah, dia terlibat menerima suapan rasuah daripada pemberi rasuah dalam urusan rasmi jawatannya, maka dia mempunyai satu lagi ‘majikan’ yang haram iaitu pemberi rasuah.

Contohnya, seorang penguatkuasa undang-undang menerima suapan rasuah bulanan daripada pengedar dadah atau tauke pusat judi haram sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas kegiatan haram itu.

Dia seolah meletakkan pengedar dadah atau tauke judi haram itu “majikannya”. Hakikat sebenarnya dia telah mengenepikan amanah yang diberikan oleh majikan yang sah iaitu jabatannya; dan

Perilaku jenayah rasuah juga mempunyai ciri-ciri berkait rapat dengan unsur-unsur pelanggaran integriti iaitu berkaitan ajaran agama, etika kerja, nilai dan norma masyarakat. Sekiranya seorang perasuah itu beragama Islam, dia tidak akan peduli persoalan halal dan haram, dia tidak peduli perbuatan jenayah itu berdosa besar dan kesan buruk perbuatan jenayah rasuah kepada ahli keluarganya, masyarakat dan negara. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *