BERITA UTAMA

Laporan polis seluruh negara oleh Pemuda UMNO terhadap KK Mart

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Malaysia akan membuat laporan di seluruh negara hari ini, bagi membolehkan polis menyiasat isu penjualan stoking yang ditulis kalimah Allah di kedai rangkaian serbaneka, KK Super Mart.

Ketuanya, Dr. Akmal Salleh turut mengajak rakyat Malaysia yang terkesan dengan apa yang berlaku di kedai rangkaian serbaneka itu untuk turun bersama.

“Kalau (polis) tak boleh siasat (sebab) tak ada laporan, maka Pemuda UMNO seluruh Malaysia akan buat laporan mulai hari ini.

“Ayuh, semua rakyat Malaysia, kita tunjukkan kepada mereka yang kurang ajar ini, bahawa negara ini masih lagi ada orang yang boleh mengajar mereka yang kurang ajar!,” tegasnya dalam kenyataan menerusi Facebooknya.

Menurut Dr. Akmal, beliau ada terbaca satu kenyataan polis menyatakan kes yang berlaku di KK Super Mart iaitu stoking yang ditulis kalimat Allah itu tidak dapat disiasat sebab tiada laporan yang dibuat ke atas insiden tersebut.

“Jadi, insyaAllah bermula hari ini, Pemuda UMNO di seluruh negara akan membuat laporan supaya polis boleh ambil tindakan dan tindakan yang berat boleh dikenakan kepada mereka ini.

“Kalau dia (KK Super Mart) rasa dia kurang ajar, kita ajar sama dia kasi jadi,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang dilaporkan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai stoking bertulis “Allah” yang dijual di kedai serbaneka KK Super Mart seperti mana tular di media sosial.

Katanya, polis tidak membuka kertas siasatan berhubung isu berkenaan.

Sementara, KK Mart pada Rabu, memohon maaf atas kesilapan itu, selepas isu berkenaan tular di internet dan telah menghentikan penjualan stoking tersebut.

Dalam satu kenyataan yang ditujukan kepada “semua pelanggan KK Mart, terutama yang beragama Islam”, KK Mart berkata, stoking jenama Mranosock itu diletakkan di cawangannya di Bandar Sunway secara konsainan oleh vendor.

Tindakan serta-merta telah diambil dengan memberhentikan penjualan stoking tersebut.

“Kami kesal dan memandang serius perkara ini, untuk makluman, produk ini adalah konsainan daripada pihak vendor.

“Kami juga sudah berhubung dengan mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu ini.

“KK Super Mart juga berterima kasih di atas keprihatinan warga umum yang telah menegur dan memberi komen terhadap isu ini, sekali lagi kami memohon maaf dan akan memastikan ia tidak berlaku lagi,” kata kenyataan itu. – NasionalDaily

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *