Semasa menaiki tangga Perpustakaan Negeri Sabah (Cawangan Tanjung Aru), Kota Kinabalu, Sabah pada hari Jumaat, 8 Mach 2024, terpampang sebuah ‘iklan’ yang tak mungkin sesiapa terlepas pandang. Tulisan-putih warnanya-di dinding-merah-darah, berbunyi begini: “ The moment we persuade a child to cross that magic threshold into a Library, We change their lives Forever, for the better” Barrack Obama. Mantan Presiden Amerika ini menekankan mesej betapa pentingnya seseorang anak itu dididik untuk berjinak-jinak dengan perpustakaan. Jika didikan kita berjaya, ia bakal mengubah kehidupan dan masa depan sang anak untuk selama-lamanya.
Pak Long teringat pada filem ”Gifted Hands: The Ben Carson story”. Filem ini diadaptasi dari cerita sebenar Dr Ben Carson, seorang pakar bedah saraf (neurosurgeon) yang terkemuka. Dalam cerita ini, Ben Carson, seorang pemuda Amerika yang berkulit hitam berjaya dalam kehidupannya kerana minatnya yang suka membaca buku. Secara ringkasnya, Ben dibesarkan oleh ibunya. Ben diejek dan dipandang rendah di sekolah kerana dia kurang cerdas. Ibunya seorang buta huruf tetapi dia telah menyembunyikan hal ini dari anak-anaknya. Ibunya seorang wanita hebat yang selalu memberi dorongan pada anak-anaknya dan memaksa Ben dan abangnya ke perpustakaan untuk meminjam buku untuk dibaca. Hasilnya, Ben dan abangnya, Curtis berjaya dalam persekolahan. Ben dapat belajar di Yale University dan diterima bekerja di John Hopkins Hospital sebagai doktor pakar bedah saraf. Semasa bekerja di sini, dia telah berjaya memisahkan bayi kembar siam yang tercantum di kepala. Dengan kejayaan ini, dia menjadi doktor pakar bedah saraf yang terkemuka di dunia. Kejayaan besar ini bermula dengan minat Ben yang suka membaca. Begitulah besarnya pengaruh membaca dalam kehidupan manusia.
Lain pula perasaan Pak Long semasa membelek-belek buku yang lebih banyak mengutip debu kerana kemungkinan jarang diselak-selak untuk dibaca. Tiba-tiba Pak Long teringat pada diri Pak Long. Pak Long termasuk jenis yang gemar membeli tetapi biasanya kalah membaca. Lalu terdetik di dalam hati, bagaimana jika buku-buku ini Pak Long baca ayat atau paragraf pertamanya? Jika buku itu ibarat sebuah rumah, Pak Long buka tingkapnya. Ini satu permulaan asal buku-buku itu dipegang, diselak helaiannya dan mula membaca walaupun satu paragraf. Secara rawak Pak Long tercapai buku Keris Mas yang bercakap tentang kuasa dalam tulisannya yang berbunyi “Tidak ada erti membesarkan diri kalau itu akan mengurangkan pengaruh dan kuasa”. Pak Long tertarik dengan renungan Keris Mas iaitu persoalan ‘merendah diri’ dan ‘rendah diri’. Rendah diri itu satu sifat yang tak begitu positif atau ‘comel’. Sementara merendah diri pula adalah sifat terpuji tetapi kita mestilah bijak dalam mengamalkannya bimbang kita mudah diambil kesempatan dan akan ada kaki yang memijak kepala kita.
Besar kemungkinan Pak Long ingin lari dari rasa bersalah kerana membiarkan buku-buku mengumpul debu di atas rak. Mungkin juga ini satu strategi baru atau alasan kukuh untuk membelek semua buku di rak buku Pak Long yang belum sempat dibaca.
Ndbermain-main dengan halaman pertama sebuah novel