BERITA UTAMA

Tragedi bot karam Batang Baleh: Mayat Konstabel Iskandar Ibrahim ditemukan terapung

KAPIT – Operasi mencari (SAR) mangsa bot karam yang masuk hari kesembilan hari ini berakhir dengan penemuan mayat Konstabel Iskandar Ibrahim pagi ini.

Mayat terakhir dari tiga mangsa bot karam di Sungai Batang Baleh berhampiran SK Lepong Balleh itu ditemukan terapung oleh orang awam kira-kira jam 11.30 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat mangsa berusia 28 tahun itu dijumpai di kawasan Seputin iaitu kira-kira dua kilometer dari jarak lokasi kejadian.

“Pasukan SAR bergegas ke lokasi yang dilaporkan dan didapati benar terdapat mayat terapung di sungai.

“Hasil pengecaman pada pakaian didapati adalah mangsa terakhir insiden bot karam di SK Lepong Balleh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, beliau berkata, operasi SAR yang memasuki hari kesembilan diteruskan pada jam 8 pagi ini melibatkan pasukan bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Pejabat Residen termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Kapit.

Dalam tragedi 7 Mac lalu, Iskandar bersama tiga lagi mangsa lain dilaporkan hilang selepas bot fiber dinaiki mereka bersama seorang lagi yang terselamat karam dalam perjalanan dari Kuching ke Nanga Tulie, Kapit untuk membawa bahan letupan seberat 35 kilogram dan detonator.

Tiga mangsa terbabit ialah Sarjan Jonathan Lambet, 51; Amerson John Nain, 47; dan Jack Balan, 44; manakala mangsa yang terselamat dikenali sebagai Moses Ngui, 47.

Semasa kejadian, Iskandar dan Jonathan yang bertugas di IPD Kapit terlibat bagi mengiringi bahan letupan berkenaan untuk kegunaan meletup batu bagi pembinaan jalan. – NasionalDaily

 

Kongsi berita-berita menarik di Telegram NasionalDaily: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily dan sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami ke 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *