KUALA LUMPUR – Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama, tetapi rendah berbanding dolar AS pada sesi pembukaan hari ini berikutan perkembangan positif dalam data Amerika Syarikat (AS).
Pada jam 9 pagi, ringgit susut kepada 4.6980/7035 berbanding dolar AS daripada 4.6845/6878 pada Khamis.
Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, dolar AS kekal kukuh berbanding ringgit berikutan data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS yang lebih tinggi daripada jangkaan dan data Tuntutan Pengangguran Awal yang lebih rendah daripada unjuran menjadi antara faktor yang menyokong mata wang AS itu.
IHPR keseluruhan dan IHPR teras, masing-masing meningkat 0.6 peratus dan 0.3 peratus bulan ke bulan pada Februari, lebih tinggi daripada anggaran konsensus sebanyak 0.3 peratus dan 0.2 peratus.
Sementara itu, Tuntutan Pengangguran Awal merosot kepada 209,000 pada minggu lepas daripada 210,000 pada minggu sebelumnya manakala anggaran konsensus sebanyak 218,000.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jualan runcit turut meningkat kepada 0.6 peratus pada Februari daripada -1.1 peratus pada bulan sebelumnya.
“Secara keseluruhannya, data yang masuk menekankan ekonomi AS yang berdaya tahan walaupun perlu berdepan dengan pendirian dasar monetari yang mengehadkan manakala risiko inflasi masih cenderung kepada meningkat,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS minggu depan penting berikutan pasaran ingin melihat unjuran Rizab Persekutuan AS (Fed) yang terkini mengenai Kadar Dana Fed.
Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1645/1684 daripada 3.1691/1721 pada Khamis, naik berbanding pound kepada 5.9834/5.9904 daripada 6.0021/0072 semalam dan meningkat berbanding euro kepada 5.1105/1165 daripada 5.1243/1287 sebelum ini.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.
Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.1178/1383 daripada 13.1470/1641 pada Khamis dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.5133/5180 daripada 3.5160/5193 sebelum ini.
Bagaimanapun, mata wang tempatan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.47/8.49 daripada 8.45/8.46 semalam dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 301.4/302.0 daripada 300.5/301.0 pada Khamis. – BERNAMA
Kongsi berita-berita menarik di Telegram NasionalDaily: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily dan sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami ke 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga.