BERITA UTAMA

KDN selesai 14,000 permohonan warganegara sebelum 31 Disember

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyelesaikan baki 14,000 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan sebelum 31 Disember tahun ini.

AWANI melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai berkata, kerajaan tidak sesekali menafikan hak kewarganegaraan individu yang layak, sebaliknya pemohon perlu memohon mengikut prosedur ditetapkan.

“(Daripada keseluruhan 14,000 permohonan) seramai 11,700 (permohonan) warganegara adalah anak angkat (permohonan paling banyak), selain anak terdampar dan anak tidak sah taraf (ibu bapa warga asing) yang ditinggalkan di hospital kerajaan.

“Saya boleh selesaikan baki 14,000 ini sebelum 31 Disember. Tiada lagi kes berkaitan selepas tarikh itu.

“Dulu mereka perlu menunggu hingga lima tahun sekarang hanya setahun. Komitmen kita kurang dari setahun, semua kita akan beri jawapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di sesi Dialog Khas 2024 Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM, Cheras pada Isnin.

Tambah beliau, proses mendapat mendapat kewarganegaraan boleh dilakukan melalui tiga cara iaitu penguatkuasaan undang-undang, pendaftaran dan naturalisasi.

“Itu dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan, itu tiga cara. Jangan tanya saya Lembaga Persekutuan beri kuasa kepada Menteri Dalam Negeri meluluskan pendaftaran. Itulah undang-undang dari 1963. Kenapa mesti persoalkan sekarang,” katanya.

Tegasnya, permohonan taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15A mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang sama di seluruh negara. – Astro AWANI

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *