BERITA UTAMA

Tidak mahu tangan ghaib gagalkan pindaan perlembagaan Bersatu – Muhyiddin

PAGOH – Tidak mahu ada ‘tangan ghaib’ menggagalkan usaha parti Bersatu untuk mendapatkan kelulusan pindaan perlembagaan parti.

Alasan itu menyebabkan Presidennya, Muhyiddin Yassin melontar cabaran kepada kerajaan perpaduan supaya mengisytihar kekosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Semua kerusi itu diwakili pemimpin Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan kerajaan.

“Kenapa saya cabar PM (Anwar)? Sebab saya tahu ada bidang kuasa tertentu di bawah kerajaan.. siapa kerajaan yang menentukannya? PM lah.

“Kita tidak mahu ada halangan daripada pihak berkenaan seperti Speaker Dewan Rakyat, SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk tidak membenarkan proses pindaan itu dijalankan. Itulah yang saya maksud (mengenai cabaran itu).

“Jadi, kita cabar sebab hendak lihat, kalau PM bercakap itu dan ini.. itu hak dia, sebab dalam pemikiran saya, proses kelulusan harus berjalan lancar tiada sekatan daripada dilaksanakan.

“Apapun ia melibatkan soal kuasa kerajaan seperti ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan), SPR, dan saya harap tiada halangan atas apa jua sekalipun, ia mesti dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ziarah Kasih Sumbangan Ramadan Parlimen Pagoh di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Bersatu Johor merangkap ADUN Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau bersama kepimpinan parti akan berjumpa ROS esok untuk berbincang proses selanjutnya mengenai pindaan perlembagaan parti yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas, 2 Mac lalu.

Semalam, Anwar dilapor berkata, Muhyiddin tidak layak mencabar kerajaan perpaduan supaya mengisytiharkan pengosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN, malah menganggap bekas perdana menteri itu ‘pakar lompat’.

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *