KUALA SELANGOR – Walaupun kedudukan tujuh kerusi termasuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) belum diputuskan sama ada dikosongkan atau kekal, tetapi beberapa pemimpin PN dilihat sudah mula turun padang.
Kalau sebelum ini rakyat sukar melihat wakil rakyat datang ke kawasan bertanya khabar, kali ini makin acap pula kelibat mereka menghulurkan tangan bersalam.
Namun, PN Selangor menerusi pengerusinya, Mohamed Azmin Ali menafikan program Jelajah Badan Perhubungan Negeri (BPN) parti Bersatu itu sebagai persediaan kempen menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK).
Malah kata ADUN Hulu Kelang itu, objektif BPN adalah untuk memperkukuhkan jentera parti bersama PN di semua peringkat.
“Kami mahu membuktikan komitmen parti untuk terus berjuang demi rakyat dan menghadapi segala faktor kemungkinan.
“Saya datang ini bukan untuk berkempen menghadapi PRK, tetapi fokus utama adalah menjelajah di seluruh Selangor,” katanya ketika ditemui pada program itu di Kampung Permatang di sini, hari ini.
Bulan lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga Ketua Bersatu bahagian itu, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi menjadi pemimpin blok pembangkang terbaharu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ia disusuli tindakan bekas pengerusi Bersatu Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari turut menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari minggu lalu.
Jelas Mohamed Azmin, jelajah itu dilaksanakan pihaknya bermula di Kota Raja, Klang minggu lalu dan akan diperluaskan di seluruh daerah.
Ketua Pembangkang Selangor itu berkata, parti itu bagaimanapun bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya PRK di Parlimen Tanjong Karang.
“Ini membuktikan komitmen parti untuk membantu Bersatu dan PN, walaupun matlamat asal jelajah ini adalah untuk perkukuh jentera parti,” ujarnya. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com