BERITA UTAMA

Pemuda UMNO cadang hidupkan semua ruang dialog nasional

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia khuatir dengan perkembangan polemik mutakhir ini yang dilihat telah menambah api perpecahan sedang marak.

Ketuanya, Dr. Akmal Saleh berkata, apa yang terjadi itu mencerminkan bahawa walaupun selepas hampir 70 tahun kemerdekaan dicapai, masih wujud jurang nilai dan pemisahan persefahaman antara rakyat berbilang bangsa.

Kata beliau, Pemuda UMNO berpandangan ketegangan yang kian melarat ini berakar dari sistem pemisahan dan pengasingan yang dilaksanakan bermula di peringkat paling asas kehidupan rakyat iaitu sejak dari bangku sekolah.

“Telah tiba masa dan ketikanya untuk Malaysia menoktahkan pemisahan dan pengasingan itu.

“Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan agar dihidupkan kembali suatu ruang dialog nasional bagi Malaysia meneroka wawasan baharu ke arah integrasi pendidikan negara dalam erti kata sebenar-benarnya.

“Menginsafi kerumitan, sensitiviti dan polemik yang melingkari isu ini, kerajaan tidak mempunyai pilihan, melainkan untuk menerajui usaha ini bagi memastikan ia diurus dalam kerangka penuh cermat, di luar pengaruh sentimen, syak wasangka dan hasutan,” katanya dalam hantaran Facebooknya, hari ini.

Menurut Dr. Akmal, bagi mencapai hasrat tersebut, Pemuda UMNO mencadangkan kerajaan mempertimbangkan langkah interim yang digariskan sayap parti itu.

Pertama, penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang kini merangkumi lebih 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan, dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Kedua, kajian menyeluruh berhubung ruang dan peluang penambahbaikkan ekosistem pendidikan kebangsaan bagi memberi insentif dan tarikan kepada penyertaan murid berbilang bangsa.

Ketiga, peta jalan jangka sederhana dan panjang ke arah model integrasi pendidikan di atas pasak kebersamaan nilai dan semangat kekitaan antara rakyat berbilang bangsa, tanpa menyisihkan hak kaum di Malaysia untuk memelihara warisan bahasa ibunda masing-masing.

Kata beliau, tidak ada jalan pintas ke arah mencapai perpaduan. Ia adalah suatu jalan yang panjang, berliku dan mencabar, tetapi mesti dimulakan dengan langkah pertama.

“Warisan teragung negara ini adalah keharmonian dalam kepelbagaian, bukan perpecahan dan pemisahan.

“Perpaduan rakyat Malaysia harus bermula dari pendidikan. Ini masanya untuk menyatukan, bukan memisahkan,” katanya. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *