NEW YORK – Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa kakitangannya di Gaza yang ditahan Israel dipaksa mengaku bersekongkol dengan Hamas dalam serangan pada 7 Oktober lalu.
Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) berkata perkara itu disahkan beberapa kakitangan mereka yang dibebaskan dan terkandung dalam laporan kepada PBB.
Laporan bertarikh Februari 2024 itu, yang disemak Reuters, memperincikan dakwaan penganiayaan oleh warga Palestin yang tidak dikenali ketika di bawah tahanan Israel, termasuk beberapa orang yang bekerja untuk UNRWA.
Pengarah komunikasi UNRWA, Juliette Touma berkata, agensi itu merancang untuk menyerahkan laporan setebal 11 mukasurat yang tidak diterbitkan itu kepada agensi di dalam dan di luar PBB, khusus bagi mendokumentasikan potensi pelanggaran hak asasi manusia.
“Apabila perang berakhir, perlu ada satu siri siasatan untuk melihat semua pencabulan hak asasi manusia,” katanya.
Dokumen itu menyatakan, beberapa kakitangan UNRWA Palestin ditahan tentera Israel diberi layanan buruk dan menghadapi penderaan, termasuk pukulan fizikal yang teruk, melemaskan (waterboarding) dan ancaman terhadap kepada ahli keluarga.
“Kakitangan agensi menjadi subjek ancaman dan paksaan oleh pihak berkuasa Israel ketika dalam tahanan dan ditekan untuk membuat kenyataan palsu terhadap UNRWA.
“Antaranya termasuk mengatakan agensi mempunyai hubungan dengan Hamas dan kakitangan UNRWA turut serta dalam kekejaman pada 7 Oktober 2023,” kata laporan itu.
UNRWA menolak permintaan Reuters untuk melihat transkrip wawancaranya yang mengandungi dakwaan pengakuan palsu yang dipaksa itu.
Laporan itu menyebut, sebagai tambahan kepada dakwaan penderaan yang dialami kakitangan UNRWA, tahanan Palestin menggambarkan dakwaan penderaan itu dengan lebih terperinci.
Ramai antara mereka dipukul, dihina, diancam, diserang menggunakan anjing dan berdepan keganasan seksual, malah berlaku kematian tahanan yang dinafikan rawatan perubatan.
UNRWA, yang menyediakan bantuan dan perkhidmatan penting kepada pelarian Palestin, dirundung krisis susulan dakwaan Israel pada Januari lalu bahawa 12 daripada 13,000 kakitangan agensi itu di Gaza turut serta dalam serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Tuduhan Israel itu menyebabkan 16 negara menghentikan sementara pembiayaannya kepada UNRWA sebanyak AS$450 juta (RM2.1 bilion), yang menyebabkan krisis kepada operasi agensi itu.
UNRWA memecat beberapa kakitangannya, mengatakan ia bertindak untuk melindungi keupayaan agensi itu dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan dan siasatan dalaman PBB yang bebas sudah pun dilancarkan.
Norway, yang kembali membiayai agensi itu, pada 6 Mac lalu berkata, banyak negara yang menghentikan pembiayaan kemungkinan sedang membuat pertimbangan dan pembiayaan boleh disambung semula tidak lama lagi.
UNRWA menyediakan perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan bantuan kepada kira-kira 5.7 juta pelarian Palestin berdaftar di seluruh Asia Barat.
Amerika Syarikat (AS) adalah antara penderma terbesar kepada belanjawan tahunan agensi itu, sebanyak AS$1.4 bilion (RM6.5 bilion) daripada belanjawan tahunannya. – REUTERS
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com