PRU16: Pilihan Raya Rumusan, Bukan Lagi Pilihan Raya Persepsi

Oleh: Manzaidi Mohd Amin

PILIHAN Raya Umum Ke-16 (PRU16) ini berpotensi menjadi pilihan raya yang paling unik dalam sejarah politik negara.

Jika pilihan raya sebelum ini sering dianggap sebagai referendum terhadap kerajaan semasa atau medan untuk menawarkan harapan baharu kepada rakyat, PRU16 pula boleh disifatkan sebagai “Pilihan Raya Rumusan”, iaitu pilihan raya yang menyaksikan rakyat membuat penilaian menyeluruh terhadap semua parti politik utama yang pernah diberi peluang mentadbir negara.

Buat pertama kalinya dalam sejarah politik moden Malaysia, hampir semua parti utama telah merasai pengalaman berada di kerusi kerajaan Persekutuan. Keadaan ini mewujudkan landskap politik yang berbeza berbanding era sebelum 2018 apabila persaingan politik banyak berkisar antara kerajaan yang berpengalaman dan pembangkang yang menawarkan alternatif.

Rakyat telah melalui era panjang pemerintahan BN yang diterajui UMNO bersama parti-parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan.

Namun, selepas kekalahan BN dalam PRU14, Gerakan mengambil keputusan keluar daripada gabungan tersebut pada Jun 2018, sekali gus menandakan berakhirnya hubungan politik yang terjalin sejak penubuhan BN pada 1973.

Dalam tempoh lebih enam dekad itu, negara menikmati pembangunan infrastruktur yang pesat, pertumbuhan ekonomi yang konsisten dan kestabilan politik yang menjadi asas kepada pembangunan negara.

Namun, pada masa sama, pelbagai isu berkaitan tadbir urus, integriti dan keperluan reformasi institusi akhirnya mendorong rakyat melakukan perubahan politik pada PRU14.

Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 membuka lembaran baharu dalam sejarah negara apabila buat pertama kalinya kerajaan Persekutuan bertukar tangan melalui proses demokrasi. Gelombang perubahan yang dibawa ketika itu disertai harapan tinggi rakyat terhadap agenda reformasi dan pembaharuan institusi.

Bagaimanapun, jangkaan yang tinggi itu berdepan cabaran apabila kerajaan PH yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya mampu bertahan dalam tempoh yang singkat.

Kerajaan ini menyaksikan pertama kali DAP dan PKR berada dalam Kabinet serta Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara, diberi pengampunan sepenuhnya atas daya usaha Tun Dr. Mahathir.

Sebahagian reformasi yang dijanjikan tidak sempat direalisasikan sepenuhnya, manakala beberapa isu berkaitan pengurusan ekonomi, kos sara hidup dan kestabilan politik menjadi bahan perbahasan dalam kalangan rakyat.

Kejatuhan kerajaan tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai kemampuan gabungan politik yang pelbagai ideologi untuk mengekalkan kesepaduan dalam pentadbiran.

Selepas itu, landskap politik negara memasuki fasa yang lebih dinamik apabila Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negara dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Tempoh pemerintahan tersebut berlaku dalam keadaan luar biasa apabila negara berhadapan pandemik Covid-19 yang memberi kesan besar kepada kesihatan awam, ekonomi dan kehidupan rakyat.

Dalam konteks itu, keupayaan kerajaan menangani krisis menjadi ukuran utama rakyat. Walaupun pelbagai langkah bantuan dan rangsangan ekonomi diperkenalkan, kerajaan PN juga berdepan tekanan politik yang akhirnya membawa kepada perubahan pentadbiran.

Kerajaan kemudiannya diserahkan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari UMNO, yang turut menyaksikan penyertaan PAS dalam Kabinet, sebelum negara memasuki era kerajaan perpaduan pimpinan bersama Anwar (PKR), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (UMNO-BN), Anthony Loke (DAP) dan Datuk Seri Mohamad Sabu (Amanah) selepas PRU15.

Pembentukan kerajaan yang menghimpunkan parti yang sebelum ini berada di blok bertentangan memperlihatkan satu realiti baharu dalam politik Malaysia, iaitu keperluan kepada kerjasama rentas ideologi bagi menjamin kestabilan politik dan pentadbiran negara.

Perkembangan tersebut memberikan satu kelebihan kepada pengundi menjelang PRU16. Mereka kini tidak lagi menilai parti politik berdasarkan manifesto semata-mata, tetapi bersandarkan pengalaman sebenar sepanjang tempoh pemerintahan pelbagai kerajaan sejak 2018.

Atas sebab itu, PRU16 dijangka menjadi pilihan raya yang lebih berasaskan prestasi berbanding persepsi.

Hampir semua parti politik utama telah diberi peluang untuk membuktikan kemampuan masing-masing sama ada dalam mengurus ekonomi, menangani krisis, melaksanakan reformasi mahupun mengekalkan kestabilan politik.

Naratif bahawa sesebuah parti belum pernah diberi peluang mentadbir sudah semakin sukar digunakan sebagai modal politik. Begitu juga alasan yang meletakkan segala kelemahan kepada pihak lain. Pengundi kini mempunyai asas yang lebih kukuh untuk membuat perbandingan secara langsung terhadap rekod pentadbiran setiap parti.

Kematangan politik rakyat juga semakin meningkat seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan media sosial. Akses kepada maklumat yang lebih luas membolehkan rakyat membuat penilaian berdasarkan fakta, rekod dan prestasi sebenar, bukan sekadar dipengaruhi sentimen politik atau kempen pilihan raya.

Dalam masa sama, isu yang menjadi pertimbangan pengundi juga semakin tertumpu kepada perkara yang memberi kesan langsung terhadap kehidupan mereka. Kos sara hidup, peluang pekerjaan, kadar gaji, pendidikan, kesihatan dan kemampuan kerajaan merangsang pertumbuhan ekonomi dijangka menjadi faktor utama yang mempengaruhi corak pengundian.

Di samping itu, kestabilan politik turut muncul sebagai isu yang semakin penting dalam pertimbangan rakyat. Pengalaman menyaksikan beberapa kali pertukaran kerajaan dalam tempoh singkat menjadikan sebahagian besar pengundi lebih menghargai kepentingan sebuah kerajaan yang stabil dan mempunyai kemampuan untuk merancang dasar jangka panjang.

Aspek integriti dan konsistensi perjuangan politik juga tidak boleh diketepikan. Dalam era yang menyaksikan pelbagai penjajaran politik dan kerjasama baharu, rakyat akan menilai sama ada parti-parti politik masih berpegang kepada prinsip yang diperjuangkan atau sekadar menyesuaikan pendirian mengikut keperluan semasa.

Golongan muda pula bakal menjadi antara penentu utama keputusan PRU16. Dengan jumlah pengundi muda yang semakin besar hasil pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik, pola pengundian generasi baharu dijangka memberi kesan signifikan kepada keputusan di banyak kerusi Parlimen.

Berbeza dengan generasi terdahulu yang mungkin dipengaruhi sentimen sejarah politik tertentu, pengundi muda lebih cenderung menilai keberkesanan dasar, integriti kepimpinan dan peluang masa depan yang ditawarkan.

Pada masa sama, parti-parti politik juga berdepan cabaran untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka mempunyai pelan jelas bagi menghadapi cabaran ekonomi global, memperkukuh daya saing negara, menarik pelaburan berkualiti serta memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam era transformasi digital dan kecerdasan buatan.

Hakikatnya, rakyat kini mempunyai pengalaman politik yang jauh lebih luas berbanding sebelum ini. Mereka telah melihat kerajaan lama memerintah. Mereka telah memberi peluang kepada kerajaan baharu. Mereka juga menyaksikan pertukaran kerajaan, pembentukan gabungan politik yang pelbagai pendekatan pentadbiran yang berbeza.

Justeru, persoalan utama dalam PRU16 bukan lagi siapa yang layak diberi peluang pertama untuk memerintah, tetapi siapa yang telah membuktikan kemampuan mentadbir dengan lebih baik. Inilah yang membezakan PRU16 daripada pilihan raya terdahulu.

Dalam erti kata lain, PRU16 bukan sekadar pertandingan untuk merebut kuasa politik. Ia merupakan medan penilaian rakyat terhadap prestasi, kredibiliti dan keupayaan semua parti yang pernah diberikan mandat untuk mentadbir negara.

Keputusan yang bakal dibuat bukan sahaja menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan seterusnya, tetapi juga menjadi rumusan rakyat terhadap perjalanan politik Malaysia sejak berakhirnya dominasi satu parti pada tahun 2018.

Dalam sebuah sistem demokrasi, rakyat kekal sebagai hakim yang paling berkuasa dan pada PRU16 nanti, mereka akan membuat keputusan berdasarkan pengalaman yang telah dilalui, pencapaian yang telah ditunjukkan serta keyakinan terhadap hala tuju yang ditawarkan.

Rumusan itulah yang bakal menentukan arah politik negara untuk tahun-tahun mendatang. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *