BERITA UTAMA

Meluaskan penempatan Israel adalah jenayah perang – PBB

GENEVA – Tindakan memperluaskan penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah ‘jenayah perang’ dan berisiko menghapuskan sebarang kemungkinan untuk sebuah negara Palestin yang merdeka.

Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk, memberi amaran berlaku peningkatan ketara pembinaan penempatan haram Israel di Tebing Barat yang diduduki ketika ia melancarkan perang tanpa henti di wilayah Palestin di Gaza.

Pesuruhjaya tinggi PBB bagi hak asasi manusia itu berkata, tindakan mewujudkan dan memperluaskan penempatan haram oleh Israel kini menyamai pemindahan penduduk awamnya sendiri ke wilayah yang diduduki itu.

“Pemindahan sebegitu menyamai jenayah perang yang mungkin menjadi tanggungjawab jenayah individu bagi mereka yang terbabit,” kata Turk dalam laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Tambah beliau, Israel dilaporkan merancang untuk membina 3,476 lagi rumah peneroka Israel di Tebing Barat jajahan Maale Adumim, Efrat dan Kedar, yang sama sekali melanggar undang-undang antarabangsa.

Sepanyol mengulangi sentimen sama, dengan kementerian luarnya berkata, ia ‘mengutuk sekeras-kerasnya’ penempatan yang dirancang, yang ‘melemahkan usaha untuk mencapai penyelesaian dua negara dan menjadi penghalang kepada keamanan’.

Israel merampas Tebing Barat, timur Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza dalam perang Arab-Israel pada 1967.

Di sebalik penentangan negara luar, Israel sejak beberapa dekad lalu sudah membina puluhan penempatan haram di seluruh Tebing Barat.

Kawasan itu kini menjadi rumah kepada lebih 490,000 warga Israel, tinggal di wilayah yang sama dengan kira-kira tiga juta rakyat Palestin.

Israel memberi kebenaran pembinaan penempatan baharu itu kurang dua minggu selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, menegaskan sebarang perluasan penempatan akan ‘memudaratkan usaha untuk mencapai keamanan berkekalan’ dengan Palestin.

Turk berkata, dalam tempoh yang diambil kira dalam laporannya itu, antara 1 November 2022 hingga 31 Oktober 2023, kira-kira 24,300 unit rumah ditambah ke penempatan haram Israel sedia ada di Tebing Barat.

Ia menandakan jumlah terbesar dalam rekod sejak pemantauan bermula pada 2017, termasuk hampir 9,700 unit di timur Baitulmaqdis.

Laporan Turk mendapati, dasar kerajaan Israel nampak sejajar dan semakin berleluasa hingga ke tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya, matlamat pergerakan peneroka Israel adalah untuk meluaskan kawalan jangka panjang ke atas Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis timur serta untuk terus mengintegrasikan wilayah yang diduduki itu ke dalam Israel. – AFP

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *