BERITA UTAMA

Kapal Bersatu semakin karam – Puad

KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menyokong kepimpinan Menteri Besar Selangor merupakan tempeleng maut kepada Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, jika benar ada lima lagi ADUN PN yang akan mengikut jejak Abdul Rashid bermakna Azmin tidak padu di Selangor.

“Dia (Azmin) bukan poster boy Bersatu di Selangor dan Abdul Rashid melakukan kamikaze kerana parti itu baharu sahaja meminda perlembagaan parti.

“Abdul Rashid tidak takut pada pindaan. Dia lebih takut kapal Bersatu yang akan karam,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Semalam, politik Selangor dikejutkan dengan keputusan Abdul Rashid dari PN mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari.

Bekas Pengerusi Bersatu Selangor itu memaklumkan, tindakan mengalih sokongan adalah akibat daripada beberapa siri tindakan PN pusat dan Selangor yang dilihat berdiam diri terhadap tohmahan yang dilontar kepada Raja-raja Melayu.

Tegas beliau, ini adalah berlawanan dengan prinsip orang Melayu beragama Islam.

“Setelah meneliti perkembangan semasa dan mengambil kira beberapa faktor utama, saya Datuk Abdul Rashid Asari selaku Ahli Dewan Negeri N44 Selat Klang dengan ini menyatakan sokongan saya kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari,” katanya.

Menurut Dr. Mohd Puad, Bersatu kini akan berhadapan dengan krisis perlembagaan parti jika pindaan itu tidak terpakai sebelum diluluskan RoS.

Katanya, tindakan itu mengimbau kembali keputusan sekumpulan Ahli Parlimen dari PH termasuk Azmin terlibat dengan “Langkah Sheraton”. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *