214 notis dikeluarkan KKM atas pelbagai kesalahan Akta Makanan 1983

SHAH ALAM – Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) mengeluarkan 214 notis kesalahan bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 melibatkan beberapa peratus subseksyen dalam Ops Tempat Makan sekitar negeri ini, semalam.

Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakai 2004 selama dua hari itu melibatkan 72 pegawai dari JKNS, Pejabat Kesihatan Daerah Sepang, Sektor Kawalan Tembakau, Bahagian Kawalan Penyakit dan

Sektor Inspektorat dan Perundangan, Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan.

Menurut kenyataan dikeluarkan, operasi itu menyasarkan tempat larangan seperti kedai makan, kompleks membeli belah, hentian pengangkutan awam, lapangan terbang dan stesen minyak.

Katanya, fokus utama adalah premis makan, yang mana aduan paling banyak diterima.

Justeru, sebanyak 214 notis kesalahan dengan nilai sebanyak RM54,050 di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan melibatkan kesalahan di bawah Peraturan 11 iaitu 110 notis di tempat makan Peraturan 11(1)(d), sebanyak 48 notis dalam mana-mana kawasan kompleks membeli belah Peraturan 11(1)(n) dan 20 notis dalam kawasan lapangan terbang Peraturan 11(1)(g).

Notis dikeluarkan adalah bagi kesalahan di bawah Peraturan 12 kepada tuan punya premis iaitu Peraturan 12(1)(a), yang mana 29 notis kesalahan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis.

Bagi Peraturan 12(1)(b) pula, lima notis dikeluarkan kerana kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok di premis masing-masing.

“Bagi kesalahan di bawah Peraturan 13(1) iaitu merokok oleh orang belum dewasa, terdapat satu notis dikeluarkan.

“Kesalahan di bawah Peraturan 14(1) iaitu kesalahan tidak mempamerkan tanda larangan menjual hasil tembakau kepada orang belum dewasa pula satu notis dikeluarkan,” kata kenyataan itu menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Sehubungan itu, KKM menegaskan larangan merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok, tetapi dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat itu kepada golongan perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling.

Menurut kenyataan itu lagi, pengguna rokok elektronik atau vape juga boleh membahayakan orang di sekeliling berdasarkan kajian terkini dijalankan di peringkat antarabangsa.

“Pada masa sama, KKM sentiasa konsisten untuk menjalankan aktiviti promosi dan advokasi kepada seluruh rakyat dengan bantuan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, rakan sukarelawan, badan profesional, badan bukan kerajaan (NGO), universiti, persatuan peniaga kedai makan dan peniaga kedai.

“Selain itu, hebahan dan taklimat serta sesi penerangan turut diadakan KKM dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape.

“Perokok dan pengguna rokok elektronik atau vape diseru untuk berhenti merokok mengikut kaedah rawatan yang diiktiraf oleh KKM,” katanya. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *