USAHAWAN sensasi, Datuk Seri Vida mendakwa tidak tahu menahu mengenai serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke atas premis perniagaan miliknya yang mengusahakan kerepek kulit ikan salmon sehingga melibatkan sitaan berjumlah RM88,582.50.
Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman, 53, ketika dihubungi Kosmo! Online terpinga-pinga ketika diajukan persoalan berhubung perkara terbabit.
“Saya tak tahu apa-apa. Saya baru bangun tidur dan baru pulang dari oversea..
“Buat masa sekarang, saya kena ambil tahu apa sebenarnya yang terjadi. Saya kena baca dulu apa laporan media berhubung dakwaan yang awak maklumkan pada saya ini,” katanya.
Bagaimanapun, pelantun lagu I Am Me itu bersedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa andai benar ada melakukan kesalahan.
“Saya sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa untuk disoal siasat. Takkan saya nak lari pula.
“Tapi, sekarang saya tak tahu sangat tentang serbuan yang diadakan sebab ketika kejadian, saya tiada di tempat serbuan,” ujarnya lagi.
Kosmo! Online melaporkan sebuah premis yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah bagi produk makanan ringan di Kawasan Perindustrian Jelapang di Ipoh, Perak diserbu KPDN dengan nilai sitaan diperoleh ketika operasi itu mencecah hampir RM90,000.
Serbuan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak bermula pukul 11 pagi itu merupakan hasil maklumat awam dan risikan oleh pihaknya berhubung aktiviti memproses makanan di kawasan tersebut yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com