TAWAU – Sekurang-kurangnya 45 rumah musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Tanjung Batu Laut Logpong, petang semalam, dan 180 penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kompleks Sukau Tawau.
Mereka dari 81 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kejadian itu yang berlaku sekitar jam 2.15 petang.
Ketua Zon Tawau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Sukur Hatta berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.31 petang sebelum menggerakkan dua jentera bomba bersama 44 anggota ke tempat kejadian.
Katanya, pihaknya juga turut dibantu lima anggota Bomba Komuniti Kampung Titingan Tawau, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan anggota Tawau.
“Selain itu, penduduk kampung turut bertungkus lumus membantu memadamkan api kebakaran.
“Ketika operasi, anggota bomba menghadapi kesukaran memadam kebakaran disebabkan kedudukan rumah yang rapat menyebabkan api merebak dengan cepat.
“Sehingga jam 5 petang, jumlah sebenar penduduk yang hilang tempat tinggal seramai 180 mangsa.
Bagaimanapun katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh yang ditemui berkata, susulan kejadian itu pihaknya akan melakukan pemantauan yang rapi di kawasan berkenaan bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.
Beliau juga mengingatkan penduduk terlibat agar menjaga harta benda mereka dengan rapi termasuk dokumen penting bagi memudahkan membuat urusan berkaitan dokumentasi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sabah dalam kenyataan hari ini, memaklumkan satu lagi PPS telah dibuka iaitu Dewan OT Mohd Jantan Tanjung Batu Darat di sini, namun setakat ini masih tiada mangsa dipindahkan.
“Dua PPS ini dibuka pada jam 8 malam tadi dan dijangka berlaku peningkatan mangsa yang akan dipindahkan,” menurut kenyataan itu. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com