BERITA UTAMA

LKIM dorong anak nelayan tingkat keupayaan diri – Faiz

LUNDU (SARAWAK) – Seramai 100 murid dan pelajar sekolah yang terdiri daripada anak nelayan bawah seliaan Pertubuhan Nelayan Kawasan (PNK) Sematan/Lundu dekat sini, menerima sumbangan persekolahan.

Sumbangan sebanyak RM150 dalam bentuk beg sekolah, peralatan tulis dan baucar pakaian seragam itu disampaikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil.

Beliau hadir ke Program Madani Anak Nelayan Kembali ke Sekolah bersama penaja iaitu Petronas yang menyumbang RM60,000 dan Yayasan Nelayan Malaysia (Yanem) sebanyak RM50,000.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah LKIM, Zarina Abd. Latif dan Pengarah LKIM Sarawak, Rizal Sahari.

Selepas program itu, Faiz turut melawat stesen minyak Petronas yang dimiliki dan diusahakan PNK Sematan/Lundu.

Menurut beliau, program itu adalah usaha kolektif LKIM dan pihak GLC dalam membela kebajikan nelayan.

“Ia bertujuan untuk mendorong anak nelayan meningkatkan keupayaan diri dalam usaha LKIM memodenkan nelayan dan memajukan indutsri perikanan dengan berteraskan ilmu dan kemahiran tinggi.

“Kolaborasi khas dengan Petronas ini juga bagi memberikan semangat kepada pelajar menjadikan Petronas sumber inspirasi dalam melakukan evolusi kepada industri perikanan,” katanya.

Beliau berkata, bagi mencapai objektif memajukan sektor perikanan dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi nelayan, pembangunan modal insan di kalangan anak nelayan amat penting supaya melahirkan generasi moden dan lebih berdaya saing.

“Saya gembira melihat anak nelayan ini ceria dan bersemangat. Saya mendoakan kejayaan semua mereka dalam pelajaran.

“Kepedulian LKIM dan kerajaan perpaduan berasaskan agenda Malaysia Madani kepada golongan nelayan terus disuburkan,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *