MOSCOW – Rusia menegaskan rancangan Israel untuk melancarkan serangan darat di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza boleh membawa kepada “pembersihan etnik” rakyat Palestin.
Menurut laporan Anadolu Agency (AA), Menteri Luar, Sergey Lavrov, berkata, tragedi sebenar sedang berlaku di Gaza yang tiada penghujungnya.
Katanya, Moscow bimbang mengenai rancangan Israel untuk menjalankan operasi ketenteraan di Rafah, yang mana dua pertiga daripada penduduk Gaza mencari perlindungan daripada keganasan.
“Sekiranya operasi Rafah bermula, sejumlah besar penduduk Gaza akan ke Mesir, tetapi penduduk Mesir berulang kali menyatakan bahawa perkara ini tidak boleh diterima.
“Ini sebenarnya penghapusan etnik,” katanya pada sidang media di luar Forum Diplomasi Antalya di Turkiye.
Lavrov berkata, kepemimpinan Israel sebelum ini menyatakan bahawa ia bukan mengenai mewujudkan negara Palestin, sebaliknya memastikan keselamatan negara Israel.
“Ini bertentangan sepenuhnya dengan semua keputusan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan keadilan.
“Ini bermakna rakyat Palestin boleh dibuang dari tanah tempat nenek moyang mereka tinggal dan semua hak mereka diperlekehkan,” katanya.
Diplomat itu juga menggesa perhatian lebih diberikan kepada situasi di Tebing Barat, di mana serangan tentera Israel terhadap rakyat Palestin semakin kerap.
Israel melancarkan serangan ketenteraan di Semenanjung Gaza pada 7 Oktober 2023, yang mana sekurang-kurangnya 30,320 rakyat Palestin sudah terbunuh dan 71,533 yang lain cedera selain kemusnahan besar-besaran, pemindahan dan kekurangan keperluan.
Israel juga mengenakan sekatan yang melumpuhkan di Semenanjung Gaza, menyebabkan penduduknya, khususnya penduduk di utara Gaza, berada di ambang kebuluran. BERNAMA-ANADOLU