LAHAD DATU – Dua lelaki, dipercayai menantu dan bapa mentua maut apabila kereta dinaiki mereka terjunam ke laut dalam kejadian 10.50 malam tadi di Batu 7, Kampung Payang, dekat sini.
Mayat pertama yang ditemui dalam kereta Perodua Myvi dibawa naik anggota penyelam Bomba dan Penyelamat pada jam 12.06 tengah malam, manakala mayat kedua dijumpai pada jam 1.31 pagi.
Pegawai Operasi, PBK II Mohd Suait Mohamad berkata, kejadian berlaku apabila kereta dipandu mangsa berusia 25 tahun, terbabas dan terjunam ke laut.
Kata beliau, bertindak atas panggilan kecemasan pada jam 10.50 malam, pasukan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu seranai tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera FRT.
“Selaman pertama berjaya membawa keluar mayat seorang mangsa dikenali sebagai Edwin, 25, dari dalam kereta dan dibawa naik pada jam 12.06 tengah malam.
“Selaman kedua bomba dengan menggunakan set penyelam milik Syarikat Synergy Multi Resources Sdn. Bhd., mangsa kedua dikenali sebagai Chan Wai Hou berusia 66 tahun dijumpai pada jam 1.31 pagi.
“Kita menggunakan tali untuk mengikat kereta tersebut dan ditarik dengan sistem takal ke kawasan yang lebih cetek untuk mencari mangsa kedua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Suait, berdasarkan maklumat awal, ada dua orang terlibat dalam kejadian dan keduanya belum dijumpai.
Katanya, pasukan bomba bertindak menjalankan operasi penyelamatan dengan bantuan bot dan penyelam daripada syarikat Synergy Multi Resources Sdn. Bhd dan menjumpai kedua mangsa selang lebih satu jam.
“Kedua mangsa yang dikenalpasti adalah lelaki berusia 25 dan 66 tahun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada KKM di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan menamatkan operasi ditamatkan pada jam 1.58 pagi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, pemandu iaitu Edwin dipercayai bertengkar dengan bapa mentuanya, Wai Hou sebelum kereta terbabas masuk laut.
“Kereta dipandu melulu selepas bertengkar dipercayai punca dua maut kemalangan apabila kereta dinaiki terbabas sebelum terjunam ke laut.
“Menurut saksi kejadian, mangsa percayai bertengkar mulut dengan bapa mentuanya.
“Ketika itu, saksi menyuruh mangsa menghantar bapa mentuanya balik ke rumah dan datang semula ke lokasi untuk mengambil ahli keluarganya yang lain yang turut sama berada di lokasi.
“Menurut saksi lagi, dia sendiri mengiringi mangsa ke kenderaan. Ketika dalam kereta, Edwin yang memandu manakala Wai Hou duduk di bahagian tempat duduk penumpang,” katanya dalam kenyataan media. – NasionalDaily