Oleh: Manzaidi Mohd Amin
DUNIA kesusasteraan Melayu kehilangan seorang tokoh besar apabila Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said, meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL), petang Selasa.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 6.10 petang, selepas dimasukkan ke hospital pada petang sebelumnya akibat masalah kesihatan berkaitan usia, selain menghidap diabetes.
Berita pemergian tokoh yang cukup mesra dengan panggilan Pak Samad itu disahkan anaknya, Helmy Abdul Samad, menerusi makluman ringkas yang mengundang kesedihan dalam kalangan keluarga, sahabat, penggiat seni, sasterawan serta pencinta bahasa dan kesusasteraan Melayu.
Pemergian beliau bukan sekadar kehilangan seorang penulis, penyair atau novelis, sebaliknya berakhirnya satu perjalanan panjang seorang insan yang mengabdikan sebahagian besar kehidupannya untuk merakam denyut nadi masyarakat melalui kekuatan kata-kata.
Lebih tujuh dekad kehidupannya diwarnai dunia penulisan, kewartawanan, perjuangan bahasa dan kegiatan kemasyarakatan. Beliau meninggalkan khazanah persuratan yang bukan sahaja menjadi kebanggaan negara, malah turut merentasi sempadan bahasa dan budaya.
A. Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka.
Bagaimanapun, kehidupannya lebih banyak dibesarkan di Singapura apabila keluarganya membawanya berhijrah ke pulau itu ketika beliau berusia kira-kira enam bulan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Di situlah bermulanya perjalanan kehidupan dan pendidikan awal seorang anak Melayu yang kemudian muncul sebagai antara tokoh paling berpengaruh dalam perkembangan kesusasteraan moden negara.
Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura, dari 1940 hingga 1946 sebelum meneruskan pembelajaran di Victoria Institution.
Tidak seperti kebanyakan individu yang mengikuti laluan pendidikan secara konvensional, A. Samad Said turut meneruskan pembelajaran secara kendiri sehingga berjaya memperoleh Sijil Senior Cambridge pada 1956.
Minat terhadap dunia pembacaan dan penulisan mula berkembang sejak zaman persekolahan. Kecenderungan itu kemudian menjadi asas kepada perjalanan panjangnya sebagai seorang pengarang.
Beliau juga menggunakan beberapa nama pena sepanjang penglibatannya dalam dunia persuratan, antaranya Hilmy Isa, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir.
Selepas menamatkan pendidikan, A. Samad Said memulakan kerjaya sebagai kerani di Hospital Umum Singapura.
Namun, minatnya terhadap dunia penulisan membawa beliau meninggalkan pekerjaan tersebut untuk menceburi bidang kewartawanan.
Beliau kemudiannya menyertai akhbar Fikiran Rakyat di Kuala Lumpur yang ketika itu dipimpin Ahmad Boestamam.
Selepas kira-kira enam bulan, beliau kembali ke Singapura dan menyertai akhbar Utusan Zaman di bawah pimpinan tokoh sastera, Usman Awang.
Hubungan dengan dunia kewartawanan semakin berkembang apabila beliau mengikuti perpindahan operasi Utusan Melayu ke Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan kerjayanya, beliau turut membantu Usman Awang mengendalikan majalah Mastika sebelum menyertai kumpulan akhbar New Straits Times Press.
Beliau pernah memegang tanggungjawab sebagai pengarang Berita Harian dan kemudian mengetuai pengembangan sastera dalam kumpulan akhbar berkenaan.
Pada 1978, beliau meminta dilepaskan daripada tugas pengarang untuk memberikan lebih perhatian kepada penulisan rencana dan artikel khas.
Beliau kemudian mengetuai penerbitan Warta Teberau pada 1981.
Pengalaman luas dalam bidang kewartawanan memberikan kelebihan tersendiri kepada A. Samad Said. Beliau memahami kehidupan masyarakat daripada pelbagai sudut, termasuk kemiskinan, ketidakadilan, perubahan sosial, pergolakan politik dan persoalan kemanusiaan.
Semua pengalaman itu kemudiannya diterjemahkan dalam karya-karya sasteranya.
Nama A. Samad Said mula mendapat perhatian besar melalui penghasilan novel Salina yang diterbitkan pada 1961.
Bagaimanapun, perjalanan karya tersebut bermula lebih awal apabila manuskrip asalnya yang berjudul Gerhana menyertai peraduan novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1958.
Walaupun hanya menerima hadiah penghargaan, karya itu akhirnya berkembang menjadi sebuah novel yang dianggap antara tonggak penting kesusasteraan Melayu moden.
Salina mengambil latar masyarakat selepas Perang Dunia Kedua di Singapura, dengan mengetengahkan kehidupan seorang wanita yang berhadapan dengan kemiskinan, penderitaan, kehilangan kasih sayang dan tekanan masyarakat.
Watak utamanya, Salina, merupakan seorang wanita yang terpaksa mengharungi kehidupan penuh kesukaran selepas kehilangan insan yang dicintai.
Keberanian A. Samad Said mengangkat kehidupan seorang wanita yang dipinggirkan masyarakat ketika itu memperlihatkan kematangan pemikirannya sebagai pengarang.
Beliau tidak sekadar menulis untuk menghiburkan pembaca, sebaliknya membawa pembaca menyelami kehidupan manusia yang sering dihukum berdasarkan kedudukan sosial dan latar belakang mereka.
Melalui Salina, beliau memperlihatkan bahawa manusia tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan kelemahan dan kesilapan masa silam.
Novel itu kemudian diiktiraf sebagai antara karya penting dalam sejarah perkembangan novel Melayu moden dan diterjemahkan ke beberapa bahasa, termasuk bahasa Inggeris dan Perancis.
Kejayaan Salina membuka ruang kepada kelahiran lebih banyak karya besar yang memperkukuh kedudukannya dalam dunia kesusasteraan.
Selain Salina, A. Samad Said menghasilkan pelbagai karya dalam genre novel, cerpen, puisi, drama dan esei.
Antara novel pentingnya ialah Di Hadapan Pulau, Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang, Daerah Zeni, Hujan Pagi, Lantai T. Pinkie, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri dan Cinta Fansuri.
Setiap karya mempunyai kekuatan dan pendekatan tersendiri, namun kebanyakannya berkisar tentang kehidupan manusia, perubahan masyarakat, sejarah, pergolakan jiwa dan persoalan nilai.
Novel Sungai Mengalir Lesu yang diterbitkan pada 1967, misalnya, memperlihatkan kesan peperangan dan penderitaan manusia melalui gambaran kehidupan masyarakat yang dihimpit kesengsaraan.
Langit Petang pula memperlihatkan persoalan kehidupan, hubungan manusia dan perubahan zaman, manakala Hujan Pagi yang diterbitkan pada 1987 membawa pembaca menyelami dunia kewartawanan dan pergolakan pemikiran seorang wartawan.
Kekuatan A. Samad Said terletak pada kemampuannya menjadikan pengalaman manusia sebagai bahan sastera yang mempunyai nilai kemanusiaan sejagat.
Beliau juga menghasilkan karya puisi yang memperlihatkan kehalusan bahasa dan ketajaman pemerhatian terhadap kehidupan.
Antara kumpulan puisinya termasuk Liar di Api, Benih Harapan, Daun Semalu Pucuk Paku, Benih Semalu dan Balada Hilang Peta.
Satu lagi karya penting ialah Al-Amin, sebuah puisi panjang yang mengisahkan kehidupan Nabi Muhammad SAW.
Allahyarham pernah mengakui bahawa penulisan Al-Amin merupakan antara pengalaman paling mencabar dalam perjalanan kreatifnya kerana memerlukan kesungguhan, pengetahuan dan keikhlasan yang mendalam.
Karya tersebut memperlihatkan dimensi keagamaan dan kerohanian yang turut menjadi sebahagian daripada pemikiran beliau.
Di sebalik kejayaan dan pengiktirafan yang diterimanya, A. Samad Said sebenarnya pernah berhadapan dengan satu kekangan peribadi yang bukan mudah diatasi.
Beliau mengalami masalah gagap ketika bercakap.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak pernah memadamkan impiannya untuk menjadi seorang pemidato yang mampu menyampaikan fikiran dengan baik.
Dalam satu wawancara sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-90 pada 2025, beliau menceritakan bagaimana pernah pergi ke tepi laut untuk berlatih bercakap dengan suara lantang.
Beliau menunggu ombak besar menghempas pantai sebelum cuba menjerit lebih kuat daripada bunyi ombak tersebut.
Latihan itu dilakukannya berulang kali sebagai usaha mengatasi masalah pertuturan.
Kisah tersebut menggambarkan ketabahan seorang insan yang tidak membiarkan kekurangan diri menjadi penghalang untuk mencapai cita-cita.
Bagi A. Samad Said, dunia penulisan bukan sekadar pekerjaan atau sumber pendapatan. Ia merupakan jalan kehidupan yang dipilihnya dengan penuh kesedaran.
Dalam kehidupan peribadi, A. Samad Said pernah berkahwin dengan Datin Seri Saleha Abdul Rashid, yang lebih dikenali sebagai Salmi Manja.
Salmi Manja juga merupakan seorang penulis, penyair, novelis dan wartawan yang mempunyai sumbangan tersendiri dalam dunia kesusasteraan Melayu, khususnya berkaitan isu keadilan sosial dan hak wanita.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 1958.
Salmi Manja meninggal dunia pada 26 Disember 2023 ketika berusia 86 tahun.
A. Samad Said kemudian berkahwin dengan Rashidah Md Dahan pada 1979.
Beliau dikurniakan lima orang anak dan mempunyai 11 cucu serta dua cicit ketika usianya mencecah 90 tahun.
Kehidupan keluarga dan dunia penulisan baginya sukar dipisahkan kerana kedua-duanya menjadi sebahagian daripada pengalaman yang membentuk pemikiran dan keperibadiannya.
Beliau pernah menyatakan bahawa membaca merupakan antara kegiatan yang paling disenanginya.
Buku sentiasa menjadi teman, manakala kegiatan mengenang kembali pengalaman silam menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
Antara pengarang antarabangsa yang diminatinya termasuk Fyodor Dostoevsky, Leo Tolstoy dan Ernest Hemingway.
Pada usia lanjut, beliau masih meluangkan masa membaca karya-karya klasik yang tidak sempat dihabiskan ketika muda.
Sumbangan A. Samad Said dalam dunia kesusasteraan menerima pengiktirafan besar daripada negara dan masyarakat antarabangsa.
Pada 1976, beliau menerima Anugerah Pejuang Sastera sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang persuratan.
Tiga tahun kemudian, pada 1979, beliau menerima South East Asian Write Award atau SEA Write Award, sebuah pengiktirafan berprestij bagi pengarang di rantau Asia Tenggara.
Kemuncak pengiktirafan itu hadir pada 1985 apabila beliau dianugerahkan Anugerah Sastera Negara, sekali gus menjadikannya Sasterawan Negara keempat.
Beliau turut menerima Anugerah Sasterawan Nusantara pada 1999 dan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Kesusasteraan daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 2003.
Pada 2024, sumbangan besarnya sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila beliau menerima Anugerah Merdeka.
Pengiktirafan tersebut membuktikan bahawa karya dan pemikirannya mempunyai nilai yang melangkaui sempadan generasi.
A. Samad Said juga dikenali sebagai seorang penggiat masyarakat yang tidak pernah memisahkan dunia kesusasteraan daripada persoalan kehidupan rakyat.
Beliau percaya bahasa bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya menjadi asas pembentukan identiti, budaya dan maruah sesebuah bangsa.
Pada 2009, beliau tampil dalam Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Gerakan tersebut menentang dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah yang dilaksanakan kerajaan ketika itu.
Beliau bersama tokoh bahasa, sasterawan, ahli akademik dan aktivis masyarakat menyuarakan kebimbangan terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Perjuangannya tidak terhenti di situ.
Beliau turut menyertai gerakan reformasi pilihan raya melalui Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 serta pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Bersih 2.0.
Kehadirannya dalam gerakan masyarakat memperlihatkan bahawa seorang sasterawan tidak semestinya hanya berada di meja penulisan atau pentas pembacaan puisi.
Sebaliknya, beliau percaya seseorang penulis mempunyai tanggungjawab moral untuk menyuarakan keresahan masyarakat dan mempertahankan perkara yang diyakininya benar.
Pendekatan itu menjadikan A. Samad Said bukan sekadar tokoh kesusasteraan, tetapi turut dikenali sebagai suara nurani masyarakat.
Ketika menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-90 pada 9 April 2025, A. Samad Said masih memperlihatkan kecintaan mendalam terhadap buku dan dunia penulisan.
Dalam wawancara bersama media, beliau mengakui perjalanan lebih tujuh dekad sebagai penulis mempunyai pelbagai pengalaman, termasuk ketika hasil penulisannya tidak memberikan pendapatan tetap.
Namun, beliau tidak pernah menyesali jalan kehidupan yang dipilihnya.
Baginya, kejayaan sesebuah karya bukan semata-mata diukur melalui ganjaran material, tetapi sejauh mana penulisan itu memberikan manfaat kepada masyarakat dan menjadi sebahagian daripada khazanah negara.
Beliau juga pernah menyatakan bahawa Al-Quran menjadi sumber ketenangan ketika berhadapan dengan keresahan dan kesukaran hidup.
Dalam pesanan kepada generasi muda, beliau mengingatkan supaya melakukan kebaikan, menyumbang kepada masyarakat dan negara serta tidak mengambil hak orang lain.
Pesanan itu cukup sederhana, tetapi mencerminkan prinsip kehidupan yang dipegangnya.
Kini, pada 24 November 2026, perjalanan panjang A. Samad Said sampai ke penghujungnya.
Beliau meninggalkan dunia pada usia 91 tahun, selepas lebih tujuh dekad mewarnai perkembangan kesusasteraan Melayu melalui karya yang lahir daripada pemerhatian, pengalaman, pembacaan dan pemikiran mendalam.
Pemergiannya merupakan kehilangan besar kepada negara, khususnya dunia bahasa, sastera dan kewartawanan.
Namun, karya-karya yang dihasilkannya tidak akan turut terkubur bersama jasadnya.
Salina akan terus mengingatkan pembaca tentang penderitaan dan maruah manusia. Sungai Mengalir Lesu akan terus membawa kisah kesengsaraan akibat peperangan. Langit Petang dan Hujan Pagi pula akan terus mengajak pembaca meneliti perubahan kehidupan dan pergolakan manusia.
Begitu juga puisi-puisinya yang akan terus dibaca, ditafsir dan dihayati oleh generasi demi generasi.
A. Samad Said pernah menghabiskan kehidupannya dengan membaca, menulis dan memerhatikan dunia. Daripada pemerhatian itu lahir karya yang menjadi sebahagian daripada sejarah bangsa.
Sesungguhnya, tidak semua manusia berpeluang meninggalkan sesuatu yang mampu bertahan lebih lama daripada hayatnya sendiri.
Pak Samad telah melakukannya.
Beliau mungkin sudah tiada, tetapi suara, pemikiran dan perjuangannya akan terus hidup dalam setiap halaman buku yang pernah ditulisnya.
Pergilah dengan tenang, Pak Samad.
Terima kasih kerana menjadikan bahasa sebagai jambatan kemanusiaan dan sastera sebagai cermin kehidupan sebuah bangsa.
Al-Fatihah.
Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
