SEREMBAN – Atlet Silat Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai pertandingan itu di Dewan Komuniti Taman Coral Height, di sini, semalam.
Difahamkan Wan Muhammad Haikal, 21, rebah dan tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pihak lawan.
Dia disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 pagi tadi ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.
Kakak sulung Allahyarham, Wan Nor Haslinda berkata, keluarga diberitahu mengenai kejadian itu pada jam 5.30 petang semalam.
“Jurulatih hubungi bapa dan maklumkan yang arwah terpaksa dihantar ke hospital kerana tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pihak lawan.
“Tapi, saya tidak tahu lebih lanjut bagaimana kejadian itu berlaku dan kira-kira jam 2.30 pagi, kami dimaklumkan yang dia sudah meninggal dunia. Waktu tepatnya saya tak pasti,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Allahyarham adalah anak keempat dari lima beradik berada di Seremban untuk Pra Sukma sejak Jumaat lalu.
Katanya, arwah bersemangat hendak masuk Sukma, tapi apakan daya cita-citanya tidak tercapai.
Kata Wan Nor Haslinda, adiknya itu sanggup menolak beberapa tawaran menyambung pengajian ke universiti demi memberi tumpuan untuk mewakili Terengganu ke Sukma 2024.
“Tahun lalu arwah menerima tawaran daripada beberapa universiti awam, namun dia menyatakan hasratnya mahu sambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda selepas Sukma.
“Dia memang bersemangat nak masuk Sukma kerana tahun ini tahun terakhir dia boleh mewakili Terengganu kerana usianya telah 21 tahun.
Wan Nor Haslinda berkata, kali terakhir dia bertemu dengan adiknya itu awal Februari lalu ketika Allahyarham berkunjung ke rumahnya di Kuala Terengganu. – NasionalDaily