BAGAN DATUK – UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan kesediaan parti itu untuk meletakkan calon sekiranya berlaku kekosongan di enam kerusi Parlimen yang dimenangi parti Bersatu pada PRU15 yang lalu.
Perkara itu dinyatakan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sambil menambah, kerusi itu sebelum ini disandang oleh Ahli Parlimen BN, yang kemudian lompat parti menyertai Bersatu.
Bagaimanapun, katanya, UMNO dan BN akan mengadakan perundingan terlebih dahulu dengan kepimpinan Kerajaan Perpaduan untuk menentukan jika ada pengosongan kerusi itu.
“Sudah mestinya kita akan berunding dahulu untuk mendapatkan semula kerusi itu,” katanya dipetik Bernama pada sidang media selepas menghadiri program Mini Showcase anjuran Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau percaya Peraturan Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan kerusi Ahli Parlimen Bersatu berkenaan boleh dikosongkan biarpun terdapat usaha daripada parti itu supaya berlaku.
Katanya, pindaan yang dilakukan Bersatu nampak seperti pembalasan kepada tindakan seorang daripada pemimpinnya yang membawa masuk Ahli Parlimen UMNO menyertai parti berkenaan.
“Kini tanpa sebarang usaha pun daripada UMNO dan BN, kita lihat enam orang daripadanya telah bersama menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujar beliau.
Semalam, media melaporkan enam kerusi Parlimen milik Bersatu bakal dikosongkan sekiranya wakil rakyat masing-masing kekal dengan pendirian untuk menyokong Perdana Menteri.
Ia susulan pindaan Perkara 10 Perlembagaan parti itu yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Khas yang akan melucutkan serta merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Bagaimanapun, pelaksanaan pindaan itu tertakluk kepada kelulusan daripada Jabatan pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, parti itu akan menghantar laporan mengenai pindaan berkenaan kepada jabatan itu terlebih dulu untuk mendapat kelulusan sebelum dikuatkuasakan serta-merta.
Sekiranya semua enam kerusi itu dikosongkan, Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan.
Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – NasionalDaily