SHAH ALAM – Sepasukan anggota Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bergegas ke Kampung Sungai Kundang dekat sini, untuk menjalankan kerja pembersihan susulan insiden pengesanan minyak.
Kerja itu diteruskan sehingga jam 9 pagi ini termasuk memantau dengan rapi agar pembersihan dilakukan sehingga selesai dan tiada potensi serta risiko kepada pencemaran.
Menurut kenyataan dikeluarkan LUAS, berikutan kejadian itu, puluhan ribu ikan mati kesan daripada aliran minyak yang terkumpul.
Katanya, kerja pembersihan dalam premis terlibat dan jajaran Sungai Kundang yang terkesan berhampiran kawasan tanah perkuburan Kundang telah selesai antara jam 6 petang hingga 8 malam semalam.
“Kerja pembersihan kini tertumpu untuk diselesaikan di longkang luar premis pada tahap 50 peratus yang masih terdapat sisa aliran tercemar serta di perangkap sampah Sungai Kundang yang mana terdapat longgokan ikan mati kesan daripada aliran minyak terkumpul.
“Sebanyak 33 guni ikan mati telah dibersihkan dan dikeluarkan serta kerja pembersihan pada tahap 70 peratus,” kata kenyataan itu menerusi hantaran Facebooknya.
Pemantauan statik LUAS setiap 30 minit di Sungai Sembah hingga jam 8.30 pagi ini menunjukkan bacaan bau dan keadaan aliran sungai yang normal serta tiada kesan minyak ditemui.
Keadaan semasa adalah baik dan terkawal.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, LUAS menyatakan, aktiviti rumah penyembelihan berpotensi memberi kesan kepada sumber air terutama sungai sekiranya tiada kawalan daripada pemilik, pengusaha rumah dan premis penyembelihan.
Kata kenyataan itu, air sisa dan sisa buangan termasuk bahan pepejal serta darah yang tidak dirawat dan tiada sistem penapisan sisa disediakan berpotensi menyebabkan pencemaran sekiranya aliran tersebut masuk ke dalam parit atau longkang dan seterusnya ke sungai sehingga menjadi hitam dan tercemar.
“Selain itu kerja pembersihan dalam premis yang tidak terkawal dan terurus menyebabkan air pembersihan dilepaskan ke dalam longkang atau parit seterusnya ke sungai.
“Senario ini mewujudkan ketidakselesaan persekitaran dan berpotensi memberi permasalahan kualiti sumber air dan sungai serta berisiko terhadap operasi LRA,” katanya. – NasionalDaily