BERITA UTAMA

Dua kereta bertembung, tiga sekeluarga maut

KUALA KRAI – Tiga maut, termasuk seorang kanak-kanak dalam kemalangan melibatkan dua kereta di KM27, Lebuhraya Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Kampung Pahi di sini, hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu, seorang wanita dan seorang kanak-kanak dalam kereta jenis Perodua Myvi, manakala dua lagi kanak-kanak dalam kenderaan itu mengalami kecederaan.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, PBK I Mohd Razani Mamat, semua mangsa dalam kereta Myvi itu lima orang.

Katanya, dua lagi mangsa yang berada dalam kereta jenis Nissan March turut mengalami kecederaan dengan pemandunya tersepit di bahagian memandu.

“Semua mangsa yang terlibat dalam kemalangan ini tujuh orang iaitu empat dewasa dengan dua daripadanya meninggal dunia dan tiga kanak-kanak iaitu seorang meninggal dunia.

“Kami menerima panggilan mengenai kejadian ini pada jam 1.38 tengah hari ini dan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Guchil, masing-masing satu jentera FRT serta RRV bergegas ke lokasi.

“Kemalangan melibatkan dua kereta bertembung iaitu Nissan March yang dinaiki dua orang dan Perodua Myvi dinaiki lima orang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, mangsa yang tersepit dalam kereta Nissan March telah dikeluarkan anggota bomba, manakala penumpangnya, seorang wanita yang cedera dikeluarkan orang awam sebelum anggota bomba tiba di lokasi.

Katanya lagi, lima mangsa dalam kereta Myvi, dua kanak-kanak yang cedera dikeluarkan orang awam, manakala tiga yang maut ialah pemandu, penumpang perempuan dan seorang kanak-kanak. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *