Bersatu pinda perlembagaan, mahu enam MP kosongkan kerusi untuk PRK

KUALA LUMPUR – Pindaan Perkara 10 Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membolehkan enam Ahli Parlimen mereka yang bertindak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengosongkan kerusi masing-masing.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perlembagaan Bersatu ketika ini hanya membolehkan kepimpinan parti menggantung enam Ahli Parlimen tersebut tanpa memberi kesan kepada kerusi Parlimen mereka.

Kata bekas Perdana Menteri itu lagi, perbuatan enam Ahli Parlimen tersebut, yang kononnya menyokong PM atas alasan tiada peruntukan, merupakan satu perbuatan hipokrit dan tidak menghormati perjuangan parti serta mandat rakyat.

“Kita terpaksa membuat pindaan ini kerana terdapat enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengkhianat, khianat pada perjuangan parti kita, menyokong musuh parti kita tanpa mereka keluar dari Bersatu. Patut mereka keluarlah! Tetapi tak nak keluar!

“Sebab itu kita buat keputusan untuk gantung, berapa lama? Maksimum yang digantung enam tahun. Maknanya dia masih ahli Bersatu. Jadi dalam keadaan tak berapa menentu, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) membincangkan secara terperinci dan ambil keputusan hari ini untuk pinda perlembagaan,” katanya dipetik Astro AWANI.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Agung Bersatu di IDCC Ideal Convenction Centre Selayang di sini, hari ini.

Untuk rekod, enam Ahli Parlimen tersebut ialah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada Februari lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dilaporkan berkata, semua enam Ahli Parlimen tersebut tidak perlu mengosongkan kerusi masing-masing, biarpun sudah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, mereka masih kekal dengan kerusi masing-masing selagi mana mereka tidak bertindak keluar daripada Bersatu.

Melalui pindaan tersebut, difahamkan mana-mana ahli Bersatu yang merupakan wakil rakyat, yang melakukan ketidakpatuhan terhadap apa-apa arahan dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi disifatkan terhenti keahliannya secara serta-merta.

Susulan itu, Setiausaha Agung di atas arahan Majlis Pimpinan Tertinggi perlu mengeluarkan notis kepada ahli berkenaan untuk memaklumkan penamatan keahlian secara serta-merta.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, beliau yakin pindaan tersebut akan mendapat sokongan sebulat suara daripada perwakilan yang hadir dan proses seterusnya ialah untuk memaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Tambahnya lagi, pihak pimpinan parti juga akan berusaha memastikan enam kerusi Ahli Parlimen itu dikosongkan dan seterusnya memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Speaker Parlimen, apabila Bersatu hantar notis (kelak) supaya enam kerusi ini, iaitu Labuan, Kuala Kangsar, Bukit Gantang, Jeli, Gua Musang dan Tanjong Karang ini dikosong, jangan berdolak dalih.

“Perlembagaan Persekutuan kata automatik kerusi mesti dikosong (jika mereka hilang keahlian). Prosedur seterusnya, dibawa kepada RoS dan bila ia boleh dilaksanakan, maka Setiausaha Agung akan menghantar surat kepada mereka.

“Nak sokong (Bersatu) lagi ke tidak. Mana tahu, dah Insaf, minta maaf, dah sedar, itu parti akan pertimbang. Tapi kalau masih sokong PMX, pergi. Kita sudah pun bersedia untuk menghadapi PRK,” tegasnya lagi. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *