KUALA LUMPUR – Jijik, kotor dan busuk. Itulah suasana yang boleh digambarkan dalam serbuan pasukan penguatkuasa ke pusat sembelihan ayam di Kampung Cheras Baru, di sini, awal pagi tadi.
Dalam operasi kira-kira jam 2.30 pagi itu, sepasukan 21 petugas melibatkan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan DBKL menerjah tiga premis yang menjalankan perniagaan ayam proses.
Selain beroperasi tanpa lesen perniagaan, semua pekerja yang terdiri dari warga asing juga tidak mendapatkan suntikan typhoid dan tiada sijil pengendali makanan.
“Dalam operasi ini, ayam yang diproses diletakkan di lantai yang kotor.
“Selain itu, air sisa darah, tulang dan bulu ayam dilepaskan terus ke longkang awam.
“Pusat sembelihan ini didapati tidak mempunyai water treatment plant yang sesuai dan air digunakan untuk membersihkan ayam juga tidak diganti secara berkala,” kata kenyataan dari DBKL.
Sebanyak tiga notis perintah penutupan premis dikeluarkan di bawah UUK 28(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan berkuatkuasa serta merta.
Selain itu, tiga kompaun di bawah Seksyen 47(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, 2 kompaun di bawah seksyen 23(3)(b) dan tiga kompaun di bawah seksyen 33(3) UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 turut dikeluarkan kepada pihak operator.
DBKL akan merujuk kes itu kepada Jabatan Agama Islam, Jabatan Alam Sekitar serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk tindakan susulan. – NasionalDaily