BERITA UTAMA

Abdul Hadi rendahkan Sultan Selangor, apa pendirian Azmin?

SHAH ALAM – Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Selangor mempersoalkan pendirian Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu, Datuk Seri Azmin Ali berhubung teguran Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap sekutu kuatnya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Timbalannya, Borhan Aman Shah berkata, PN negeri itu wajib menyatakan pendirian memandangkan Sultan Selangor telah menzahirkan rasa amat dukacita baginda dengan kenyataan Presiden Pas yang mempertikai peranan Raja-Raja Melayu.

Kata beliau, MPN Selangor hendak tahu apa pendirian pimpinan PN negeri itu dengan kebiadaban Abdul Hadi yang dimurkai Sultan Selangor.

“Adakah PN Selangor sanggup membelakangi titah sultan hanya semata-mata hendak menjaga hati pemimpin dan penyokong Pas?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Borhan, PN Selangor juga tidak boleh berdiam diri sebagaimana kes membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md. Nor yang mempersenda baginda tuanku tahun lalu sehingga dihadapkan ke mahkamah.

Pada waktu itu, katanya, PN Selangor mengambil sikap membisu meskipun sultan menzahirkan dukacita dan murka baginda.

“Bagi MPN Keadilan, kita akan terus mengambil pendekatan menyokong sebarang usaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat dan mendukung institusi Raja-Raja Melayu,” katanya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *