BERITA UTAMA

Seludup hidupan liar dilindungi dalam kotak ‘buah tangan’ dari Malaysia

KUALA LUMPUR – Sumbat burung dalam paip polivinil klorida (PVC) sebelum dimasukkan dalam kotak kononnya berisi ‘buah tangan’ dari Malaysia merupakan taktik terbaru seorang lelaki warga Indonesia.

Perbuatan itu dapat dikesan sepasukan pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) dan polis bantuan selepas melihat kecurigaan pada lelaki terbabit.

Dipetik laporan Berita Harian, Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim sebagai berkata, lelaki Indonesia berusia 50-an itu cuba menyeludup unggas liar dilindungi melalui Terminal 2, KLIA2, tengah hari kelmarin.

“Tindakan suspek bagaimanapun berjaya dihalang sepasukan pegawainya yang dibantu polis bantuan KLIA2.

“Pegawai menjalankan pemeriksaan bagasi milik suspek yang mencurigakan dan hasil pemeriksaan lanjut pada kotak dibawa, menemui tiga burung sewah tahu yang disembunyikan dalam tiga batang paip PVC.

“Susulan itu lelaki terbabit ditahan untuk soal siasat dan reman untuk disiasat kes mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686],” katanya.

Pada 22 Februari lalu, seorang lelaki tempatan turut ditahan ketika cuba menyeludup tiga kura-kura spesies Sulcata berasal dari Afrika Utara melalui KLIA.

Suspek berusia 50-an ditahan selepas disyaki cuba menyeludup tiga kura-kura yang disembunyikan di dalam tiga kotak berasingan.

Berdasarkan maklumat spesies Sulcata adalah kura-kura ketiga terbesar di dunia. Haiwan ini berasal dari pinggir gurun di Afrika dan mampu hidup sehingga 100 tahun. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *