SHAH ALAM – Pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah segera melaksanakan inventori dan siasatan terhadap semua projek pembangunan bagi memastikan syarat pembinaan kolam takungan serta penyelenggaraan sistem saliran dipatuhi.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata PBT turut diarahkan mengambil tindakan menghentikan kerja dan menarik balik kebenaran merancang terhadap pemaju yang gagal memenuhi keperluan ditetapkan.
“Arahan terbaru saya kepada pihak PBT, segera buat inventori dan siasatan semua projek-projek pembangunan.
“Saya sudah bagi arahan kepada mereka (PBT) untuk lakukan henti tugas dan tarik balik kebenaran merancang ini. Kita tidak mahu ‘jeopardize’ pembangunan (perancangan mengatasi isu banjir) yang sedang dirancang oleh pihak kerajaan,” katanya pada sesi Penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
Pada 6 Nov lepas, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor memutuskan semua kerja pembangunan di Puncak Alam, Kuala Selangor dihentikan segera sementara pelan migitasi banjir serta Penilaian Impak Alam Sekitar dinilai semula.
Amirudin berkata pada masa yang sama, Jalan Batu Arang di Rawang akan ditutup sementara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) susulan runtuhan tebing serta memberi ruang untuk kerja-kerja pembaikan dijalankan.
Sementara itu, Amirudin berkata perbincangan bulanan akan diadakan bersama-sama pihak berwajib antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan PBT sebagai langkah mengekang kejadian banjir.
Beliau berkata faktor komunikasi dikenal pasti sebagai punca utama masalah dalam menyelesaikan insiden itu, justeru menjadi keutamaan pentadbiran tersebut bagi membolehkan penyelarasan dibuat di setiap peringkat.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Susulan itu, pertemuan secara bulanan akan dilaksanakan selepas ini membabitkan jabatan, PBT dan pihak bertanggungjawab dalam memastikan aliran kerja serta isu mengatasi insiden banjir dapat dikurangkan,” katanya. – BERNAMA
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
