Minit Lembaga Pengampunan: Siapa buka dokumen, siapa pilih halaman dan mengapa Tony Pua?

Dari Meja Editorial ND

ENAM hari. Itulah jarak masa antara kenyataan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat dengan kemunculan lima halaman minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang kemudiannya didedahkan oleh bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua menerusi Facebook.

Pada 12 November, Menteri Dalam Negeri memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau akan mencadangkan supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan dinyahklasifikasikan.

Namun, pada 18 November, dokumen berkenaan muncul di media sosial bukan melalui kenyataan rasmi kerajaan, bukan daripada Kementerian Dalam Negeri, bukan daripada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, malah bukan juga daripada mana-mana wakil rakyat yang sedang memegang jawatan kerajaan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Sebaliknya, ia dikongsikan oleh Tony Pua, seorang bekas Ahli Parlimen DAP yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam pentadbiran kerajaan.

Di sinilah bermulanya persoalan yang tidak boleh dipandang ringan.

Persoalannya bukan sekadar kandungan minit mesyuarat itu, tetapi bagaimana dokumen rasmi berkenaan boleh berada di tangan seorang ahli politik yang tidak mempunyai kedudukan dalam kerajaan, sedangkan proses penyahklasifikasiannya sendiri belum dijelaskan secara terbuka kepada rakyat.

Mengapa kerajaan tidak membuat pengumuman rasmi apabila dokumen itu selesai dinyahklasifikasikan? Mengapa Menteri Dalam Negeri yang sebelum itu menyatakan hasrat untuk mencadangkan penyahklasifikasian tidak tampil menjelaskan perkembangan tersebut?

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Lebih menarik, siapakah sebenarnya yang menguruskan proses penyahklasifikasian itu? Siapa yang memberikan kelulusan, bila keputusan dibuat dan apakah asas perundangan yang digunakan?

Jika dokumen berkenaan sudah boleh diakses orang awam, kerajaan sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk menjelaskan prosedur yang dilalui. Ketelusan tidak sepatutnya berlaku secara terpilih, apatah lagi apabila dokumen itu menyentuh perkara besar berkaitan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Malah, timbul persoalan apabila Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, turut dikatakan tidak mengetahui bila proses penyahklasifikasian itu dilakukan.

Jika benar perkara itu berlaku, bagaimana sebuah dokumen yang mempunyai implikasi perlembagaan dan politik sebesar ini boleh dinyahklasifikasikan tanpa penjelasan yang jelas daripada kementerian berkaitan?

Namun, persoalan paling menarik ialah mengapa hanya lima halaman minit mesyuarat yang dikongsikan?

Daripada keseluruhan dokumen yang dikatakan mempunyai lapan halaman, hanya halaman tiga, lima, enam, tujuh dan lapan dipaparkan. Bagaimana pula dengan halaman satu, dua dan empat?

Adakah halaman yang tidak didedahkan itu tidak mempunyai sebarang kepentingan, atau terdapat kandungan tertentu yang belum diketahui umum?

Kita tidak boleh terus membuat kesimpulan bahawa ada sesuatu yang sengaja disembunyikan. Namun, pendedahan yang hanya melibatkan beberapa halaman daripada sebuah dokumen rasmi sudah tentu menimbulkan persoalan mengenai kelengkapan dan konteks maklumat yang diberikan kepada masyarakat.

Adakah terdapat halaman tambahan selepas halaman lapan? Adakah lima halaman yang dikongsikan itu merupakan keseluruhan minit yang telah dinyahklasifikasikan atau hanya sebahagian daripadanya?

Lebih penting, atas arahan siapa dokumen itu diserahkan atau disalurkan kepada Tony Pua?

Persoalan ini menjadi semakin relevan apabila kita meneliti cara dokumen berkenaan digunakan dalam perbahasan politik.

Dalam hantaran tersebut, Tony Pua memberikan penekanan kepada pendirian Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, yang dikatakan tidak bersetuju dengan perintah pengampunan bersyarat dan enggan menandatanganinya sehinggalah Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya beliau berbuat demikian.

Jelas, kandungan itu membuka ruang kepada perdebatan mengenai tanggungjawab anggota Lembaga Pengampunan, kedudukan menteri dalam proses berkenaan dan hubungan antara kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dengan pelaksanaan keputusan oleh pihak eksekutif.

Tetapi mengapa pendedahan itu perlu datang melalui Tony Pua? Mengapa bukan kerajaan sendiri yang mengumumkan penyahklasifikasian dan menerbitkan keseluruhan dokumen yang dibenarkan untuk didedahkan?

Jangan sampai rakyat mendapat gambaran bahawa dokumen kerajaan boleh muncul mengikut kepentingan dan strategi komunikasi seseorang ahli politik, sedangkan proses rasmi yang membolehkan dokumen itu didedahkan tidak diketahui umum.

Isu ini bukan semata-mata mengenai Najib Razak, UMNO, DAP atau Hannah Yeoh. Ia menyentuh soal tatakelola kerajaan, amanah pengurusan dokumen rasmi dan penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan.

Jika kerajaan benar-benar mahu bersikap telus, jawablah semua persoalan ini secara terbuka. Dedahkan proses penyahklasifikasian, nyatakan pihak yang meluluskannya dan jelaskan mengapa hanya halaman tertentu dikongsikan.

Rakyat tidak sepatutnya dibiarkan meneka-neka, apatah lagi apabila isu ini membabitkan institusi tertinggi negara.

Jangan hanya bercakap tentang ketelusan apabila ia menguntungkan politik sendiri. Ketelusan sebenar bermaksud bersedia menjelaskan segala-galanya, termasuk perkara yang mungkin tidak menyenangkan pihak kerajaan.

Akhirnya, persoalan paling besar bukan sekadar apa yang terkandung dalam lima halaman minit mesyuarat itu.

Tetapi siapa yang membuka pintu, siapa yang memilih halaman untuk ditunjukkan dan mengapa Tony Pua menjadi orang pertama yang tampil mendedahkannya kepada umum?

Persoalan itu memerlukan jawapan. Bukan spekulasi. – Firdaus Wong

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *