KUALA LUMPUR – UMNO menyifatkan tindakan menyebarkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai satu bentuk penghinaan dan hasutan yang bertujuan meremehkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu memandang serius dan amat kesal dengan tindakan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua yang memuat naik dokumen berkenaan menerusi akaun Facebook miliknya.
Menurutnya, kuasa pengampunan, pengurangan dan peringanan hukuman merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, katanya, segala urusan serta dokumen berkaitan prosiding Lembaga Pengampunan sewajarnya dikendalikan dengan penuh cermat, menjaga kerahsiaan dan menghormati kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong.
“Persoalan utama yang perlu dijawab ialah adakah penyahklasifikasian dan pendedahan minit mesyuarat tersebut telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong?” katanya dalam kenyataan media.
Asyraf Wajdi berkata, meskipun terdapat proses penyahklasifikasian dokumen, perkara yang menyentuh secara langsung prosiding Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong sewajarnya terlebih dahulu dirujuk kepada baginda untuk mendapatkan perkenan.
Beliau mendakwa penularan dokumen berkenaan oleh Tony Pua adalah tindakan disengajakan bagi membuka ruang kepada perdebatan dan polemik yang mempersoalkan, menghina serta meremehkan kuasa prerogatif institusi diraja.
Malah, katanya, tindakan itu memperlihatkan seolah prosiding pengampunan diraja terus diperalatkan sebagai bahan perbalahan politik tanpa menghormati kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sehubungan itu, UMNO mendesak kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung proses dan asas perundangan penyahklasifikasian minit mesyuarat berkenaan, termasuk pihak yang meluluskannya serta sama ada perkenan Yang di-Pertuan Agong telah diperoleh.
Asyraf Wajdi menegaskan, sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau prosedur dalam tindakan mendedahkan dokumen berkenaan, langkah tegas perlu diambil dengan segera.
Katanya, tindakan sedemikian penting bagi mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, keluhuran Perlembagaan serta menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
