PELETAKAN jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta pada 10 November 2026, bukan sekadar mengakhiri tugasnya dalam Kabinet.
Ia turut membuka ruang kepada satu persoalan yang jarang dibahaskan secara serius, iaitu sejauh manakah adilnya sistem pencen dan ganjaran persaraan bagi ahli politik berbanding penjawat awam?
Loke yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan kedudukannya itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
Beliau sebelum ini menyatakan pendirian untuk melepaskan jawatan sekiranya Najib dibenarkan menjalani hukuman di rumah. Pendirian itu akhirnya diterjemahkan melalui peletakan jawatan yang berkuat kuasa serta-merta.
Namun, di sebalik keputusan politik itu, terdapat satu lagi perkara yang wajar diberikan perhatian, iaitu kemudahan persaraan dan ganjaran yang diperuntukkan kepada seseorang anggota pentadbiran kerajaan.
Loke mula menganggotai Kabinet pada Disember 2022. Dengan tempoh perkhidmatan hampir empat tahun sebagai Menteri Pengangkutan, beliau sudah melepasi tempoh 36 bulan yang menjadi antara syarat penting dalam kelayakan faedah di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.
Perlu difahami undang-undang berkenaan mempunyai peruntukan tersendiri mengenai pencen dan ganjaran bagi anggota pentadbiran serta Ahli Parlimen.
Bagi pencen Ahli Parlimen, seseorang yang berhenti menjadi anggota Parlimen selepas melengkapkan sekurang-kurangnya 36 bulan perkhidmatan boleh dipertimbangkan untuk menerima pencen.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Bagi mereka yang pertama kali menjadi anggota Parlimen selepas 1 Julai 1990, pembayaran pencen hanya bermula apabila mencapai usia 50 tahun sekiranya belum mencapai umur itu ketika menamatkan keanggotaan.
Dalam kes Loke, beliau masih Ahli Parlimen Seremban. Justeru, peletakan jawatan sebagai menteri tidak bermakna beliau secara automatik menerima pencen Ahli Parlimen pada masa ini.
Bagaimanapun, Akta 237 turut memperuntukkan pembayaran ganjaran kepada anggota pentadbiran yang menamatkan jawatan menteri walaupun masih kekal sebagai Ahli Parlimen.
Ganjaran itu dikira berdasarkan formula yang ditetapkan undang-undang, dengan mengambil kira gaji, tempoh perkhidmatan dan had perkhidmatan yang boleh dimasuk kira. Oleh itu, jumlah sebenar yang bakal diterima Loke tidak wajar dipastikan tanpa pengiraan rasmi pihak berkenaan.
Di sinilah timbul persoalan mengenai perbezaan layanan antara golongan politik dan penjawat awam.
Bagi penjawat awam yang memilih persaraan pilihan, syaratnya jauh lebih terperinci. Mereka perlu mencapai usia sekurang-kurangnya 40 tahun, mempunyai tempoh perkhidmatan yang boleh dimasuk kira tidak kurang daripada 10 tahun, mendapat sokongan Ketua Jabatan serta memenuhi syarat lain yang ditetapkan.
Lebih menarik, bagi penjawat awam yang dilantik selepas 12 April 1991, pencen bulanan hanya dibayar apabila mencapai usia 55 tahun walaupun persaraan pilihan diluluskan lebih awal.
Mereka juga perlu melalui proses permohonan dan kelulusan pentadbiran, bukannya sekadar menyerahkan surat peletakan jawatan lalu menganggap segala hak persaraan terus diperoleh.
Memang benar kedua-dua kategori mempunyai undang-undang dan skim perkhidmatan berbeza. Namun, perbezaan itu tidak seharusnya menutup ruang untuk masyarakat mempersoalkan rasional di sebalik kemudahan yang diberikan kepada wakil rakyat.
Penjawat awam yang berkhidmat berpuluh-puluh tahun perlu memenuhi pelbagai syarat untuk mendapatkan hak persaraan. Ada yang menghabiskan hampir seluruh usia produktif dalam perkhidmatan kerajaan sebelum menikmati pencen.
Sebaliknya, anggota pentadbiran mempunyai peruntukan ganjaran dan pencen tersendiri berdasarkan tempoh perkhidmatan yang jauh lebih singkat.
Adakah perbezaan ini benar-benar mencerminkan prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam penggunaan wang rakyat?
Persoalan lain yang turut menarik perhatian ialah kemungkinan seseorang ahli politik mengumpulkan kelayakan faedah persaraan daripada beberapa jawatan yang pernah disandang, termasuk sebagai Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan anggota pentadbiran kerajaan.
Namun, ia bukan bermaksud seseorang secara automatik boleh menerima tiga pencen serentak. Setiap skim mempunyai undang-undang, syarat kelayakan dan peraturan bagi mengelakkan pertindihan faedah.
Begitu juga dakwaan bahawa seseorang menteri boleh memperoleh ganjaran melebihi RM250,000 selepas beberapa tahun berkhidmat. Angka itu hanya boleh dianggap sebagai anggaran berdasarkan formula tertentu, bukannya jumlah rasmi yang telah disahkan bagi Loke.
Satu lagi perkara yang perlu difahami ialah seseorang yang masih menjadi Ahli Parlimen tetap menerima elaun bulanan sebagai wakil rakyat mengikut peruntukan undang-undang. Namun, perkara itu berbeza daripada menerima pencen bagi tempoh perkhidmatan yang sama.
Semua ini membawa kita kepada persoalan lebih besar: apakah wajar sistem ganjaran dan pencen ahli politik dikekalkan dalam bentuk sekarang ketika rakyat biasa semakin terbeban dengan kos sara hidup?
Tidak salah seseorang pemimpin menerima ganjaran selepas berkhidmat kepada negara. Mereka juga mempunyai tanggungjawab, tekanan dan pengorbanan sepanjang memegang jawatan.
Namun, apabila wang yang digunakan datang daripada dana awam, setiap kemudahan yang diberikan perlu mempunyai justifikasi yang munasabah, telus dan boleh dipertanggungjawabkan.
Jangan sampai rakyat melihat jawatan politik sebagai laluan singkat untuk menikmati pelbagai keistimewaan persaraan, sedangkan golongan yang menggerakkan jentera kerajaan setiap hari perlu melalui perjalanan perkhidmatan yang jauh lebih panjang.
Isunya bukan semata-mata berapa banyak wang yang bakal diterima Anthony Loke selepas meninggalkan Kabinet. Isunya ialah sama ada sistem yang ada hari ini benar-benar adil kepada semua pihak.
Apa pun, selamat maju jaya kepada Anthony Loke selepas meninggalkan Kementerian Pengangkutan. Terima kasih atas khidmat dan sumbangan sepanjang menerajui kementerian berkenaan.
Tetapi dalam masa sama, sudah tiba masanya kerajaan menilai semula sistem pencen dan ganjaran wakil rakyat supaya prinsip keadilan tidak hanya menjadi slogan ketika berkempen, sebaliknya turut diterjemahkan dalam pengurusan wang rakyat.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
