Oleh: Bazli Razak
TANJONG MALIM – Global Educator Award (GEA) perlu berkembang sebagai platform antarabangsa yang mengiktiraf kecemerlangan pendidikan, mempromosikan inovasi dan memperkukuh kerjasama pendidikan merentas sempadan, bukan sekadar menjadi majlis pengiktirafan pencapaian individu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata pendidik merupakan barisan hadapan dalam membentuk ilmu, nilai dan kemanusiaan, selain memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Beliau berkata sumbangan guru dan pensyarah tidak semestinya mendapat pengiktirafan masyarakat, namun peranan mereka dalam membentuk generasi menjadi asas kepada kejayaan seseorang pemimpin, saintis dan golongan profesional.
“Guru dan pensyarah mungkin tidak sentiasa menerima pengiktirafan masyarakat, namun sumbangan mereka membentuk generasi. Di sebalik kejayaan setiap pemimpin, saintis atau golongan profesional, lazimnya terdapat seorang pendidik yang berdedikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Global Educator Award (GEA) 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.
Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, selaku Canselor UPSI.
Zambry berkata pendidikan tidak seharusnya hanya menumpukan kepada pencapaian akademik atau kedudukan sesebuah institusi dalam penarafan antarabangsa, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan impak sebenar pendidik terhadap kehidupan masyarakat.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menurut beliau, pendidik cemerlang boleh dilahirkan di mana-mana sahaja, sama ada di universiti terkemuka, sekolah luar bandar mahupun institusi komuniti kecil, kerana perkara paling penting ialah sumbangan mereka dalam mengubah kehidupan seseorang.
Dalam pada itu, beliau berkata GEA yang memasuki tahun kedua penganjurannya diharap dapat berkembang sebagai platform global yang dihormati dengan memastikan pengiktirafan diberikan berdasarkan integriti, kredibiliti dan impak sebenar.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata penganjuran GEA 2026 mencerminkan aspirasi universiti untuk memperluas pengaruh dan kepimpinan dalam bidang pendidikan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata penganjuran edisi kali ini menerima 472 pencalonan dari 83 negara, sebelum 26 finalis dari 11 negara dipilih menerusi proses penilaian yang teliti.
“Melalui GEA, kita bukan sahaja mahu mengiktiraf pendidik cemerlang yang telah membawa perubahan kepada individu, komuniti dan negara, tetapi turut membina jaringan pendidik global untuk berkongsi idea, mencetuskan inovasi serta memajukan kecemerlangan pendidikan merentas sempadan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai tujuh individu dan sebuah institusi menerima pengiktirafan menerusi lapan kategori anugerah. Penerima Avant-Garde Teacher Award ialah Prof Madya Dr. Jayanthi Arasan (Malaysia), Eminent Education Researcher Award disandang Dr. Mahdi Kolahi (Iran), Community Outreach Award diterima Peter Mokaya Tabichi (Kenya), manakala Esteemed Teacher Educator Award diberikan kepada Prof Madya Dr. Evania Yafie (Indonesia).
Sementara itu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima Transforming Educational Institution Award, manakala The HONOR EdTech Innovation Excellence Award diberikan kepada Siti Ainulmursyida Shamsudin (Malaysia). Inspiring Educational Leader Award pula dimenangi Kashmira Jaiswal (India), manakala The Legacy Educator Award diterima Chan Hung (Hong Kong).
Penerima kategori Avant-Garde Teacher Award, Eminent Education Researcher Award, Community Outreach Award, Esteemed Teacher Educator Award, Transforming Educational Institution Award dan Inspiring Educational Leader Award masing-masing menerima trofi serta geran penyelidikan bernilai RM20,317. Manakala penerima The Legacy Educator Award membawa pulang trofi serta geran penyelidikan bernilai RM40,634.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
