Oleh Profesor Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin

INDIVIDU yang bergelar pemimpin lazimnya mengabdikan diri dalam ruang lingkup tugas dan tanggungjawab tanpa mengenal jemu dan penat lelah demi memastikan masyarakat yang dipimpin memperoleh manfaat sebaik-baiknya.
Dalam kesibukan melaksanakan amanah, seseorang pemimpin lazimnya lebih banyak memberikan perhatian kepada tugas dan tanggungjawab berbanding mencatat atau mendokumentasikan perjalanan perkhidmatannya sendiri.
Pelbagai keputusan, pengalaman, cabaran, usaha dan sumbangan mungkin berlalu begitu sahaja tanpa direkodkan secara tersusun. Apabila masa berganti dan generasi berubah, sebahagian daripada kisah tersebut berisiko hilang daripada ingatan masyarakat.
Atas sebab itu, usaha mendokumentasikan perjalanan seorang pemimpin wajar dilihat sebagai usaha memelihara memori dan merakam pengalaman mereka.
Sesebuah buku yang merakamkan legasi kepimpinan bukan hanya bermanfaat untuk mengenang masa lalu, malah dapat menjadi sumber rujukan, inspirasi dan teladan kepada mereka yang akan meneruskan amanah kepimpinan pada masa hadapan.
Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Pahang: Legasi Khidmat Tanpa Noktah lahir daripada sebuah hasrat untuk merakam perjalanan, perjuangan dan sumbangan insan-insan yang telah mewarnai landskap kepimpinan serta pembangunan masyarakat di negeri tersebut.
Buku ini mengajak pembaca melihat kepimpinan melalui lensa khidmat dan amanah. Ia memperlihatkan bahawa ukuran sebenar seorang pemimpin tidak semata-mata terletak pada kedudukan atau tempoh memegang jawatan, tetapi pada kesan yang ditinggalkan kepada organisasi, masyarakat dan generasi selepasnya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sebanyak 12 tokoh dihimpunkan dengan cerita dan perjalanan yang tersendiri. Ada yang membina kerjaya dalam politik dan pentadbiran, ada yang mencurahkan bakti melalui pendidikan, dakwah dan pembangunan Masyarakat.
Manakala sebahagian yang lain memilih jalan perjuangan melalui gerakan komuniti, kebajikan dan usaha memperkasa masyarakat di akar umbi.

Kepelbagaian ini menjadikan setiap kisah bukan sahaja sebuah catatan tentang kehidupan seorang tokoh, tetapi juga cerminan kepada pelbagai bentuk pengabdian yang telah menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan Negeri Pahang.
Di sebalik setiap pencapaian, ada perjalanan panjang yang tidak selalu terlihat. Di sebalik setiap kepimpinan, ada pengorbanan dan ketekunan yang menjadi kekuatan, juga ada nilai yang ditanam, teladan yang ditinggalkan serta kebaikan yang terus diwariskan.
Dalam konteks inilah, ungkapan “Khidmat Legasi Tanpa Noktah” menemukan maknanya. Noktah mungkin menandakan berakhirnya suatu perjalanan kehidupan atau berakhirnya tempoh seseorang memegang tampuk kepimpinan, namun khidmat yang lahir daripada keikhlasan tidak semestinya terhenti di situ.
Nilai, pemikiran, jasa dan teladan yang ditinggalkan terus hidup dalam ingatan, menjadi sumber inspirasi dan rujukan kepada generasi yang meneruskan perjuangan selepasnya.
Buku terbitan MUBARAK Pahang ini tidak sekadar sebuah kenangan, sebaliknya menjadi sumber inspirasi, teladan dan warisan pemikiran yang terus hidup dalam diri generasi hari ini dan akan datang.

Menurut Presiden Mubarak Malaysia yang juga penggerak kepada penerbitan ini, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, buku ini menjadi sebuah dokumentasi sejarah yang merakam nilai kepimpinan, ketokohan, pengalaman dan sumbangan yang wajar dikenang oleh generasi hari ini dan akan datang.
“Setiap pengalaman dan pencapaian yang ditulis merupakan sebahagian daripada perjalanan panjang yang membentuk kekuatan serta identiti MUBARAK sebagai sebuah wadah yang terus memperjuangkan kebajikan dan pembangunan masyarakat khususnya di Pahang.”
Buku ini dilancarkan oleh Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MUBARAK Malaysia ke-23 di Kuantan, pada 3 Oktober lepas.
Maklumat lanjut mengenai buku ini boleh diperolehi dengan menghubungi Marita Mohd Almi, Setiausaha Kerja MUBARAK Pahang di talian 019-2960076.
Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Presiden Persatuan Pendidikan Komunikasi Malaysia (MACE).
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
