KEMAMAN – Keinginan untuk menerima sendiri ijazah yang diusahakannya sepanjang pengajian mendorong Muhammad Afiq Mohd Hairul Fahmy, 23, untuk hadir ke majlis konvokesyen walaupun sedang bertarung dengan kanser otak tahap empat.
Bagi memastikan hasrat itu tercapai, ibu bapanya sanggup menempuh perjalanan selama dua hari menggunakan ambulans dari Arau, Perlis ke Banting, Selangor sebelum meneruskan perjalanan ke Kemaman, Terengganu, bagi menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Universiti TATI (UC TATI) ke-26 pada 10 Oktober lalu.
Afiq yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Pengurusan Perniagaan (Kepujian) disahkan menghidap kanser otak ketika berada di tahun akhir pengajiannya.
Keadaan kesihatannya yang memerlukan sokongan oksigen tidak menghalangnya daripada menamatkan pengajian, sekali gus melayakkannya menerima Anugerah Khas Aegrotat pada majlis berkenaan.
Bapanya, Kepten Ts. Mohd Hairul Fahmy Yob, pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, keputusan untuk membawa Afiq ke majlis itu dibuat bagi memenuhi hasrat anaknya sendiri.
Menurutnya, keluarga pernah mempertimbangkan untuk mendapatkan penerbangan ihsan bagi memudahkan perjalanan, namun terpaksa melupakan pilihan itu selepas mengambil kira nasihat doktor berikutan keadaan kesihatan Afiq.

“Sememangnya untuk hadir ke majlis konvokesyen ini adalah kemahuannya sendiri yang kami tidak mampu untuk menolaknya walaupun kami menyedari ia satu perjalanan jauh. Kami tempuhi perjalanan selama dua hari untuk sampai ke sini kerana keperluan kesihatannya.
“Demi Afiq, kami sanggup mengusahakan segala-galanya, malah pernah terfikir untuk mendapatkan penerbangan ihsan bagi membolehkannya hadir ke majlis konvokesyen ini. Namun, atas nasihat doktor, keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk menaiki pesawat,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Afiq akhirnya tiba di majlis berkenaan dengan bantuan ambulans yang disediakan oleh Hospital Angkatan Tentera ke-96 (96 HAT), sebelum menerima anugerahnya dalam keadaan berkerusi roda diiringi kedua-dua ibu bapanya.
Anugerah itu disampaikan oleh Naib Canselor UC TATI, Dato’ Ir. Kamaluddin Abd Rashid, bersama Rektor, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
