KUALA LUMPUR – Penganjuran Citrawarna Speed Festival sempena Kempen Melawat Malaysia 2026–2027 diperluaskan ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Hotel Sama-Sama KLIA bagi memperkenalkan keunikan budaya serta warisan negara kepada pelawat antarabangsa seawal ketibaan mereka di Malaysia.
Tourism Malaysia berkata, inisiatif itu bertujuan memberikan pengalaman budaya lebih menyeluruh kepada pelancong, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan kepelbagaian tarikan, daripada warisan tradisi hingga sukan permotoran.
Menurut agensi itu, penganjuran festival berkenaan mencerminkan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta, termasuk pemain industri pelancongan, hospitaliti serta kebudayaan, bagi meningkatkan daya tarikan negara sepanjang kempen berkenaan.
“Kempen ini bertujuan mengetengahkan kepelbagaian tarikan semula jadi, kekayaan warisan budaya serta tawaran pelancongan negara yang dinamik, di samping memacu pertumbuhan inklusif dan nilai jangka panjang buat komuniti setempat serta pemain industri,” menurut Tourism Malaysia.
Sementara itu, IOI City Mall Putrajaya bakal menjadi lokasi penutup festival pada 4 Oktober menerusi penganjuran Pengaktifan Lamborghini khas yang dijangka menghimpunkan kira-kira 100 kenderaan jenama berprestij itu.

Pengisian berkenaan melengkapkan konsep Citrawarna Speed Festival yang menggabungkan unsur warisan budaya dengan tarikan sukan permotoran, sekali gus menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung tempatan dan pelancong asing.

Pendekatan itu turut memperlihatkan usaha mempelbagaikan produk pelancongan negara dengan menggabungkan elemen kebudayaan, gaya hidup dan automotif bagi menarik minat pelbagai segmen pelawat.
Menerusi Kempen Melawat Malaysia 2026–2027, usaha memperkenalkan keunikan Malaysia kepada pelancong antarabangsa diharap dapat merancakkan aktiviti pelancongan, membuka peluang ekonomi kepada komuniti setempat serta memberikan manfaat berpanjangan kepada pemain industri negara.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
