
“BAGI guna akaun bank sekejap. Nanti dapat RM1,000.”
Bagi mahasiswa yang terdesak mencari wang poket tambahan, tawaran seperti ini mungkin kelihatan mudah, lumayan dan sukar untuk ditolak.
Tidak perlu bekerja lapan jam. Tidak perlu menjual produk. Tidak perlu menghadiri temu duga. Hanya meminjamkan akaun bank dan menerima bayaran.
Tetapi, bagaimana jika wang yang masuk ke akaun itu sebenarnya wang berunsur penipuan?
Inilah sisi gelap yang semakin membimbangkan dalam dunia scam pada hari ini. Mahasiswa bukan sahaja berdepan risiko menjadi mangsa, malah ada yang dikatakan dipancing untuk menjadi sebahagian daripada rangkaian penipuan sebagai keldai akaun.
Pada Jun lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi amaran tentang peningkatan trend mahasiswa membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh sindiket penipuan.
Menurut laporan, pelajar ditawarkan bayaran antara RM1,000 hingga RM2,000 untuk membenarkan akaun mereka digunakan bagi menyalurkan wang hasil penipuan.
Jumlah RM1,000 mungkin kelihatan lumayan bagi seorang mahasiswa. Namun, harga sebenar yang perlu dibayar boleh jauh lebih besar daripada jumlah tersebut.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Apabila seseorang mahasiswa menyerahkan akaun bank kepada pihak lain, mereka tidak akan tahu dari mana datangnya wang dan ke mana wang di dalam akaun bank mereka bergerak selepas itu.
Apa yang kelihatan seperti “kerja sambilan mudah” boleh bertukar menjadi masalah undang-undang dan kewangan.
Lebih membimbangkan, mahasiswa sendiri turut menjadi sasaran penipuan. Pada Julai lalu, seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam berusia 22 tahun dilaporkan kehilangan RM56,375 selepas terpedaya dengan penipuan cinta melalui aplikasi Telegram.
Mangsa membuat 45 transaksi dalam tempoh hampir dua bulan sebelum menyedari dirinya ditipu. Kes seperti ini sepatutnya mengubah cara mahasiswa melihat perkataan “scam”.
Scam dalam pelbagai bentuk
Scam bukan lagi sekadar mesej menarik yang menawarkan hadiah percuma. Ia boleh datang sebagai peluang pekerjaan. Ia boleh datang sebagai pelaburan. Ia juga boleh datang dalam bentuk utopia cinta.
Kadangkala, tawaran itu datang daripada seseorang yang kelihatan alim dan begitu meyakinkan, sehingga kita sendiri tidak sedar bahawa kita sedang dipengaruhi.
Di sinilah cabaran sebenar para mahasiswa hadapi. Mereka sering dianggap sebagai generasi yang celik teknologi.
Pantas menggunakan aplikasi baharu, memahami media sosial dan hidup hampir sepenuhnya dalam dunia digital. Tetapi, celik teknologi tidak semestinya cakna dan kalis terhadap penipuan.
Mahasiswa mungkin cekap membuat pindahan wang melalui aplikasi bank tetapi, belum tentu arif mengenal pasti akaun yang mencurigakan.
Mereka hebat menggunakan aplikasi Telegram, Instagram dan TikTok tetapi, belum tentu bijak menilai identiti seseorang di sebalik skrin.
Mahasiswa amat kompeten menggunakan kecerdasan buatan tetapi, belum tentu bersedia menghadapi si penipu yang amat licik menggunakan teknologi tersebut.
Justeru, universiti mempunyai peranan yang lebih besar daripada sekadar menyediakan pendidikan akademik.
Literasi kewangan dan digital
Kampus perlu menjadi ruang yang membentuk literasi kewangan dan digital mahasiswa. Pendidikan tentang scam tidak sepatutnya hanya muncul selepas seorang mahasiswa kehilangan ribuan ringgit. Kesedaran perlu dibina sebelum perkara itu berlaku.
Mahasiswa perlu berani bertanya dan menyemak setiap tawaran kerja yang kelihatan terlalu lumayan untuk dipercayai.
Akaun bank sendiri bukan sesuatu yang boleh “dipinjamkan” sesuka hati kerana kesannya boleh membawa risiko yang serius.
Mereka juga perlu memahami bahawa wang yang masuk ke dalam akaun tidak semestinya wang yang selamat untuk diraikan.
Lebih penting, budaya meminta bantuan perlu dibina. Jika seorang mahasiswa telah menyerahkan maklumat perbankan atau melakukan transaksi yang mencurigakan, perkara paling buruk ialah apabila mereka memilih untuk berdiam diri kerana malu.
Scammer memanfaatkan ketakutan dan rasa malu mangsa untuk terus mengawal keadaan. Semakin lama mahasiswa berdiam diri, semakin besar risiko kerugian dan akibat yang terpaksa ditanggung.
Mahasiswa perlu bertindak
Dalam dunia digital hari ini, pihak berkuasa mungkin tidak mampu menghapuskan jenayah scam sepenuhnya. Teknologi akan terus berkembang dan modus operandi penipuan akan terus berubah-ubah.
Tetapi, mahasiswa boleh mengubah satu perkara iaitu cara mereka bertindak balas terhadapnya. Jangan mudah percaya.
Jangan mudah panik. Jangan kejar duit yang terlalu mudah didapati dan paling penting jangan sesekali menjadikan akaun bank sendiri sebagai jalan mudah untuk mendapatkan wang.
Sesungguhnya, RM1,000 mungkin kelihatan seperti rezeki yang tidak disangka-sangka bagi seorang mahasiswa.
Namun, jika wang tersebut datang daripada sindiket penipuan, ia bukanlah rezeki, sebaliknya boleh menjadi tiket kepada masalah yang jauh lebih besar sehingga mengancam masa depan mereka.
Kesimpulannya, horizon pendidikan di universiti tidak seharusnya hanya tertumpu kepada bagaimana mahasiswa memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.
Lebih penting, pendidikan juga perlu membekalkan mereka dengan literasi kewangan dan ketahanan digital agar pekerjaan, pendapatan serta masa depan yang dibina tidak mudah dirampas oleh si penipu yang sentiasa mencari mangsa baharu.
Ts. Dr. Mohd Saipuddin Suliman ialah Ahli USIM Writers’ Pool, dan Penolong Profesor, Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Pagoh, Johor.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
