KUALA LUMPUR – Land & General Bhd (L&G) merancang mentransformasikan simpanan tanah seluas kira-kira 2,500 ekar di Lembah Beringin kepada taman perindustrian sebagai sebahagian strategi memperluaskan sumber pertumbuhan kumpulan melangkaui pembangunan hartanah kediaman.
Tertakluk kepada kelulusan berkaitan, fasa pertama projek berkenaan disasarkan dilancarkan dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (TK2027), manakala pengiktirafan pendapatan dijangka bermula pada TK2028.
Kumpulan berkata pembangunan itu bertujuan memanfaatkan permintaan jangka panjang daripada sektor pembuatan, logistik dan teknologi, selain membuka nilai bank tanah strategik yang dimilikinya secara berperingkat.
L&G turut merancang membangunkan tanah seluas 13.74 ekar di Tampoi, Johor sebagai pembangunan perindustrian dan komersial berstrata dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM500 juta.
Pengarah Urusan L&G, Low Gay Teck berkata, langkah memasuki pembangunan taman perindustrian adalah peluasan keupayaan kumpulan dan bukan penyimpangan daripada perniagaan terasnya.
“Perpindahan kami ke dalam pembangunan taman perindustrian merupakan pengembangan keupayaan L&G, bukannya penyimpangan daripada kekuatan yang telah kami bina selama beberapa dekad.
“Pembangunan hartanah akan terus menjadi tumpuan kumpulan, pendidikan akan menyediakan pendapatan berulang dan pembangunan perindustrian akan membuka jalan baharu untuk pertumbuhan jangka panjang.
“Bersama-sama, ketiga-tiga tonggak ini memberikan L&G platform yang lebih luas dan lebih berdaya tahan untuk masa depan,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Gay Teck berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) L&G ke-63 hari ini yang menyaksikan pemegang saham meluluskan kesemua sembilan resolusi biasa yang dibentangkan.
Antara resolusi diluluskan ialah dividen akhir satu peringkat sebanyak 0.8 sen sesaham biasa bagi TK2026.
Bersama dividen interim pertama sebanyak 0.2 sen sesaham yang dibayar pada 7 Mei lalu, jumlah dividen bagi TK2026 mencecah 1.0 sen sesaham, meningkat 25 peratus berbanding 0.8 sen sesaham bagi TK2025.
Dividen akhir akan dibayar pada 16 Oktober ini kepada pemegang saham yang layak dan namanya tersenarai dalam Rekod Pendeposit pada 2 Oktober.
Pemegang saham turut meluluskan pemilihan semula tiga pengarah, pelantikan semula KPMG PLT sebagai juruaudit, kuasa am untuk memperuntukkan serta menerbitkan saham dan cadangan pembelian balik saham.
L&G memasuki TK2027 dengan momentum kewangan yang lebih kukuh selepas pendapatan TK2026 meningkat 70.6 peratus kepada RM490.5 juta.
Keuntungan sebelum cukai pula meningkat 25.6 peratus kepada RM74.2 juta, manakala keuntungan boleh diagihkan kepada pemilik melonjak 38.7 peratus kepada RM50.5 juta.
Momentum berkenaan berterusan pada suku pertama TK2027 apabila pendapatan meningkat 61.5 peratus tahun ke tahun kepada RM159 juta.
Keuntungan sebelum cukai bagi tempoh sama meningkat 42.6 peratus kepada RM24.9 juta, manakala keuntungan boleh diagihkan kepada pemilik melonjak 88.7 peratus kepada RM21.5 juta.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
