Oleh: Dr. Norhayati Alias

Bahagian Pertama
SEPANYOL bukanlah sebuah negara yang asing bagi penulis. Negara ini pernah menjadi bahagian penting daripada perjalanan hidup dan akademik penulis.
Penulis bukan sahaja telah beberapa kali berkunjung ke negara Juara Bolasepak dunia itu, malah pernah menetap di sana selama empat tahun ketika mengikuti pengajian doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang Linguistik Bahasa Sepanyol.
Penulis memperoleh Ijazah Kedoktoran Ph.D di Universidad de Zaragoza, Sepanyol. Pepanjang tempoh itu, penulis berpeluang mengenali masyarakatnya bukan sekadar sebagai seorang pengembara, tetapi sebagai penduduk yang pernah menjalani kehidupan seharian di tengah-tengah masyarakat setempat di bandar tersebut.
Musim panas kali ini memberi peluang sekali lagi kepada penulis menjejakkan kaki ke negara tersebut kerana mendapat dua hadiah tajaan biasiswa kursus Bahasa Sepanyol, iaitu dari Pusat Pengajian Bahasa Carlos V Education, di Sevilla dan Fundación Duques de Soria (FDS), di daerah Soria.
Kedua-dua bandar tersebut yang mempunyai sejarah, wajah dan karakter yang berbeza dan tersendiri. Sehubungan ini, Sevilla merupakan sebuah bandar di wilayah Andalusia, manakala Soria pula berada di wilayah Castilla y León.
Melalui pengisian program tersebut, penulis bukan sahaja berpeluang memantapkan kemahiran dan penguasaan bahasa serta memperkaya pengetahuan dalam aspek pedagogi, malah diberi ruang untuk menyelami bahasa dan budaya Sepanyol dengan lebih dekat, iaitu menerusi bengkel serta pelbagai aktiviti kebudayaan yang dianjurkan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pengisian kursus tersebut menjadi sumber inspirasi kepada penulis untuk berkongsi pengalaman dan membuat catatan dalam artikel kali ini.
Justeru, melalui penulisan ini penulis ingin berkongsi pengalaman sepanjang berada di sana mengenai sisi-sisi menarik yang penulis temui di sepanjang perjalanan tersebut.
Menghayati Nikmat Kehidupan Cara Sepanyol
Masyarakat Sepanyol mempunyai cara tersendiri dalam menikmati kehidupan. Pada pandangan mata kasar, mereka mungkin kelihatan sangat aktif, pantas bergerak dan sentiasa sibuk dengan urusan harian.
Namun, di sebalik rentak kehidupan yang kelihatan dinamik itu, terselit suatu ketenangan dan sikap bersahaja yang cukup membuat penulis kagum.
Cara mereka menjalani kehidupan menggambarkan bahawa hidup bukan sekadar mengejar tugas dan waktu, tetapi tentang mengisi hari dengan pelbagai aktiviti yang menceriakan, mengeratkan hubungan dan menjadikan setiap detik itu bermakna.
Masyarakat Sepanyol rata-rata menikmati kehidupan melalui kebersamaan, riadah, pertemuan dengan sahabat handai dan pelbagai aktiviti yang ceria dan menggembirakan.
Suasana ini misalnya, dapat dirasai dengan jelas di sekitar jalan-jalan di bandar yang sentiasa terlihat hidup dan ceria, terutamanya apabila menjelangnya petang dan malam.
Bar (kafe), serta pelbagai premis-premis kedai sentiasa dipenuhi pengunjung. Suasana riuh rendah perbualan serta gelak tawa menghidupkan lagi ruang suasana premis yang dikunjungi.
Tomar un café
Budaya minum kopi di bar (kafe) turut dikenali sebagai tomar un café. Secara harfiahnya, ia bermaksud menikmati secawan kopi.
Penulis menekankan budaya ini kerana ia merupakan antara sisi kehidupan masyarakat Sepanyol yang menarik untuk difahami dan dihayati maknanya.
Bagi masyarakat Sepanyol, secawan kopi bukan sekadar minuman, sebaliknya menjadi sebahagian daripada budaya sosial yang menyatukan manusia dalam ruang perbualan, persahabatan dan perkongsian cerita.
Secawan kopi bukan sekadar untuk menghilangkan dahaga atau memenuhi keinginan, sebaliknya menjadi medium yang mengeratkan hubungan sesama mereka. Daripada pengamatan penulis, masyarakat
Sepanyol cukup menghargai makna kebersamaan, menjadikan saat menikmati kopi sebagai ruang untuk berbual, bertukar cerita dan memperkukuh ikatan sosial
Selain itu, tempat-tempat awam lain disekitar seperti taman-taman, bangku-bangku istirehat juga sentiasa dipenuhi orang.
Kesempatan ini turut digunakan untuk menikmati masa yang ada, sama ada dengan berbual-bual santai bersama sahabat, selain ada juga yang bersiar-siar santai menikmati suasana sekeliling bersama keluarga.
Justeru, bagi masyarakat Sepanyol, keluar rumah bukan semata-mata untuk memenuhi keperluan, tetapi juga menjadi sebahagian daripada cara mereka membina dan memelihara hubungan sesama manusia.
Mereka gemar berjalan-jalan, bersiar-siar dan meluangkan masa bersama keluarga serta sahabat handai. Pertemuan yang mungkin pada pandangan kita sekadar singkat, boleh berlangsung berjam-jam dalam suasana santai, tanpa terlalu terikat dengan desakan masa.
Di situlah penulis melihat satu nilai yang begitu halus tetapi bermakna dalam budaya Sepanyol iaitu, menghargai masa bukan semata-mata dengan mengejarnya, tetapi dengan mengisinya secara optimum.
Kemesraan dalam interaksi sosial
Kemesraan masyarakat Sepanyol turut terserlah dalam interaksi harian. Di kedai-kedai misalnya, pelanggan sering disambut dengan sapaan yang ramah.
Layanan yang diberikan mewujudkan suasana yang mesra dan terbuka. Penduduk Sepanyol rata-ratanya mudah didekati dan cepat mesra.
Mereka tidak kekok untuk berbual dengan seseorang yang baru dikenali. Kadangkala, hanya dengan sebuah pertanyaan ringkas, tercetus perbualan kecil yang berlangsung dalam suasana santai dan penuh kemesraan.
Di negara yang sinonim dengan seni tarian Flamenco ini, perhubungan antara pelanggan dan petugas di kaunter bukan sekadar urusan membeli dan membayar.
Sapaan, senyuman, gurauan kecil dan beberapa patah kata sering menjadi sebahagian daripada interaksi yang menceriakan suasana.
Pelanggan tidak sekadar dilayan sebagai orang yang datang membeli, manakala petugas pula bukan hanya sekadar menjalankan tugas sebagai petugas kaunter sahaja.
Ada ruang untuk bertanya khabar, bertukar cerita atau sekadar melemparkan senyuman sebelum. Interaksi kecil sebegini mungkin kelihatan biasa, namun bagi penulis, di situlah terserlah satu sisi kehidupan masyarakat Sepanyol yang begitu menghargai hubungan sesama manusia.
Aktiviti di luar kediaman
Masyarakat Sepanyol juga gemar bersiar-siar di sekitar kawasan kediaman mereka. Dalam bahasa Sepanyol, kawasan kediaman ini dikenali sebagai barrio, iaitu kawasan tempat tinggal mereka.
Di sekitar kawasan kediaman, bandar dan pekan, bangku-bangku disediakan untuk orang ramai. Kemudahan ini menjadi sebahagian daripada cara penduduk Sepanyol menikmati masa lapang dan waktu senggang mereka.
Bangku-bangku yang disediakan bukan sekadar tempat untuk duduk, tetapi ruang untuk menghirup udara segar, menikmati keindahan persekitaran, berehat serta berbual bersama insan tersayang.
Pasangan, sahabat dan ahli keluarga sering dilihat duduk bersama. Ada yang berbual, ada yang memerhatikan orang lalu-lalang, malah ada yang sekadar menikmati pemandangan dan udara di sekeliling.
Bagi mereka, berehat bukan sekadar berhenti untuk menghilangkan penat, tetapi menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, menikmati masa, suasana dan kebersamaan dalam kesederhanaan. – Bersambung
Dr. Norhayati Alias berkhidmat di Unit Bahasa Asing dan Terjemahan, Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.
Penulis berada di Sepanyol dari 3 Julai hingga 7 Ogos kerana mengikuti Program Pemantapan Profesional Bahasa Sepanyol yang ditaja oleh Fundacion Duques de Soria dan Carlos V Education, Sepanyol.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
