KUALA LUMPUR — Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming mengumumkan keputusan meninggalkan Parti Tindakan Demokratik (DAP) selepas 14 tahun menjadi anggota parti itu, berkuat kuasa hari ini.
Ong berkata, keputusan itu dibuat selepas melalui perjalanan politik yang panjang bersama DAP sejak menyertainya pada 2012, termasuk memegang beberapa jawatan penting serta diberi peluang berkhidmat sebagai wakil rakyat dan anggota pentadbiran kerajaan.
Katanya, sepanjang berada dalam DAP, beliau berpeluang menyumbang kepada parti dan negara dalam pelbagai kapasiti, termasuk sebagai Ahli Parlimen Serdang bagi tempoh 2013 hingga 2018 dan kemudiannya Ahli Parlimen Bangi dari 2018 hingga 2022.
Selain pengalaman sebagai wakil rakyat, Ong turut pernah memegang jawatan dalam kerajaan apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dari 2018 hingga 2020.
Beliau juga pernah menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP serta Jawatankuasa Negeri DAP Selangor, menjadikan pengalaman politiknya dalam parti itu merangkumi peranan di peringkat pusat, negeri dan kerajaan Persekutuan.
Mengimbas kembali perjalanan politiknya, Ong turut merakamkan penghargaan kepada beberapa pemimpin DAP yang memainkan peranan dalam perkembangan kerjayanya sejak beliau mula menyertai parti berkenaan.
Beliau secara khusus menyebut bekas pemimpin DAP, Tony Pua yang menurutnya adalah antara individu yang mengundangnya menyertai parti itu.
Ong turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang memberikan peluang kepadanya untuk bertanding di kerusi Parlimen Serdang dan kemudiannya Bangi.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menurutnya, beliau juga berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menyertai pentadbiran kerajaan sebagai Timbalan Menteri MITI.
Keputusan meninggalkan DAP itu bagaimanapun tidak bermakna beliau akan meneruskan perjalanan politiknya dengan menyertai parti lain dalam masa terdekat.
Sebaliknya, Ong menjelaskan beliau tidak mempunyai rancangan untuk menyertai mana-mana parti politik lain buat masa ini, selain tidak berhasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya tidak merancang untuk menyertai mana-mana parti politik lain dalam masa terdekat dan saya tidak berniat untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang (PRU16),” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
