KUALA LUMPUR – Polis melumpuhkan rangkaian penyimpanan dan pengedaran rokok seludup dengan menahan dua lelaki serta merampas pelbagai barangan bernilai RM1.49 juta, dalam Ops Taring Alpha 1 di sekitar Lembah Klang, semalam.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Mohd Zaki Ashar berkata operasi itu, dijalankan di tiga lokasi iaitu Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur; Semenyih dan Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor.
Beliau berkata dua lelaki yang ditahan, masing-masing berusia 20 dan 22 tahun, dipercayai berperanan sebagai penghantar rokok, dengan siasatan awal mendapati mereka menjalankan aktiviti itu masing-masing selama kira-kira empat dan enam bulan.
“Pemeriksaan menemukan stok rokok dalam kuantiti besar membabitkan pelbagai jenama, antaranya John JDB, John JDB Superslims, Zon King dan Canyon Premium.
“Selain itu, polis turut menyita dua kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire dan Toyota Alphard, telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM26,415 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaki berkata maklumat awal mendapati premis yang diserbu dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan sementara rokok sebelum bekalan berkenaan dihantar ke premis sekitar Kuala Lumpur.
Beliau berkata siasatan turut dijalankan bagi mengenal pasti individu lain yang dipercayai terlibat dalam rangkaian terbabit, termasuk pihak yang mengatur urusan pengambilan dan penghantaran bekalan melalui aplikasi komunikasi dalam talian.
Mohd Zaki berkata kedua-dua lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala semua barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan dan siasatan lanjut.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sementara itu, beliau berkata dalam tempoh 1 Jan hingga hari ini, pihaknya telah melancarkan 237 serbuan di seluruh negara dan menahan 411 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan penyeludupan barangan kontraban, dengan nilai rampasan dianggarkan RM312,523,899. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
