Oleh: Abd. Ghaffar Daud
RANTAU PANJANG – Dunia seni dikir barat Kelantan kehilangan seorang lagi tokoh berpengaruh apabila legenda tukang karut, Abdullah Che Man, 72, atau lebih dikenali sebagai Dolah Tok Deh @ Pak Nik Loh, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pasir Mas (HPM) kira-kira jam 9 pagi kelmarin.
Allahyarham yang berasal dari Kampung Gual Tok Deh dimasukkan ke HPM selama empat hari sebelum menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami masalah kesihatan sejak awal tahun ini.
Anaknya, Mohd Koiry Abdullah berkata, keadaan kesihatan bapanya mula merosot selepas diserang strok ringan, selain mengalami jangkitan kuman dalam paru-paru.
“Awal tahun ini ayah diserang strok ringan dan mengalami jangkitan kuman dalam paru-paru. Sejak akhir-akhir ini pula, ayah mengalami masalah prostat yang menyebabkan kencing tidak lawas.
“Keadaan kesihatannya semakin lemah dan akhirnya kami menerima ketentuan Allah apabila ayah menghembuskan nafas terakhir di hospital,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham.
Menurut Mohd Koiry, pemergian bapanya amat dirasai keluarga kerana Allahyarham bukan sahaja seorang ayah, malah seorang tokoh seni yang banyak mencurahkan masa dan tenaga dalam memperjuangkan serta mengembangkan seni dikir barat.
“Dunia dikir barat sudah sebati dengan kehidupan ayah. Walaupun usia semakin meningkat dan kesihatannya tidak mengizinkan, minatnya terhadap dikir barat tidak pernah hilang.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Allahyarham mula berkecimpung dalam dunia dikir barat sejak awal 1970-an dan sepanjang lebih lima dekad bergiat dalam bidang itu, beliau dikenali sebagai tukang karut yang mempunyai kebolehan tersendiri dalam mengarang serta menyampaikan persembahan dikir barat.
Beliau bukan sahaja aktif di pentas, malah turut memainkan peranan sebagai jurulatih dan pembimbing kepada kumpulan-kumpulan dikir barat, termasuk pernah membimbing pasukan dikir barat wanita Rantau Panjang.
Allahyarham juga pernah dijemput menjadi jurulatih di Universiti Malaya (UM) dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, selain mengasaskan kumpulan C-Aura yang memberi peluang kepada anak muda mendalami seni dikir barat.
Ketokohan beliau dalam bidang tersebut turut mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Tokoh Dikir Barat pada 1998 dan 2006.
Sumbangan Allahyarham dalam seni budaya turut mendapat perhatian di peringkat serantau apabila beliau menerima beberapa pengiktirafan daripada pihak Thailand.
Pemergian Dolah Tok Deh bukan sahaja dirasai ahli keluarga, malah turut mendapat perhatian rakan seperjuangan, penggiat seni dan mereka yang pernah mengenali Allahyarham sepanjang hayatnya.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, turut hadir sebagai tanda penghormatan terakhir kepada tokoh seni berkenaan.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan selepas solat Zuhur kelmarin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gual Tok Deh.
Bagi Mohd Koiry, keluarga berharap segala jasa dan sumbangan bapanya dalam dunia dikir barat akan terus dikenang oleh masyarakat, khususnya generasi muda.
“Kami sekeluarga reda dengan pemergian ayah,” katanya.
Pemergian Dolah Tok Deh meninggalkan satu lagi catatan penting dalam sejarah seni dikir barat Kelantan, khususnya sebagai seorang tukang karut yang bukan sahaja menghiburkan masyarakat, tetapi turut berusaha memastikan warisan seni tradisional itu terus hidup dan diwarisi generasi seterusnya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
