Iqra’ Sebelum Prompt: AI dan Masa Depan Daya Fikir Manusia

Oleh Dr. Siti Suriani Othman

KECERDASAN buatan atau Artificial Intelligence (AI) kini menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia moden. Dalam dunia penulisan, pendidikan dan penyelidikan, AI menawarkan kemudahan yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Hanya dengan satu arahan atau “prompt”, manusia boleh mendapatkan idea, menghasilkan draf tulisan, meringkaskan bahan bacaan dan menyusun hujah dalam masa yang singkat.

Namun, di sebalik kemudahan tersebut, muncul satu persoalan besar yang perlu direnungkan: adakah AI sedang memperkasakan keupayaan intelektual manusia atau secara perlahan-lahan menyebabkan manusia menyerahkan fungsi berfikir kepada mesin?

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Persoalan ini bukan bermaksud manusia perlu menolak AI. Sebaliknya, cabaran sebenar adalah bagaimana manusia menggunakan teknologi ini. AI boleh menjadi peluang yang luar biasa jika digunakan untuk memperluas ilmu, mencabar pemikiran dan meningkatkan kreativiti.

Namun, AI boleh berubah menjadi tempat bergantung apabila manusia mula menyerahkan keseluruhan proses intelektual kepada teknologi.

Dalam satu perkongsian bertajuk “Iqra’ Before Your Prompt: Writing, Thinking and Scholarship in the Age of AI” anjuran USIM Writers’ Pool (UWP), Professor Emerita Dato’ Dr. Roshada Hashim mengetengahkan satu konsep yang menarik perhatian, iaitu “cognitive uploading”.

Konsep ini menggambarkan keadaan apabila manusia bukan sekadar menggunakan teknologi untuk membantu tugas tertentu, tetapi mula memindahkan sebahagian proses pemikirannya kepada AI.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Sebelum era AI generatif, manusia telah biasa melakukan “cognitive offloading” melalui teknologi. Contohnya, penggunaan kalkulator untuk pengiraan atau aplikasi navigasi untuk mengingati laluan.

Namun, AI membawa fenomena ini ke tahap lebih kompleks kerana yang dipindahkan bukan sekadar maklumat atau memori, tetapi proses intelektual seperti menjana idea, membina hujah, menganalisis dan membuat rumusan.

Jika keadaan ini berlaku tanpa kesedaran, masyarakat mungkin semakin kurang melatih keupayaan berfikir secara bebas. Individu mungkin mampu menghasilkan banyak kandungan, tetapi tidak semestinya memahami kandungan tersebut secara mendalam.

Mereka mungkin menerima jawapan AI tanpa membaca sumber asal, tanpa menilai kesahihan maklumat dan tanpa mencabar andaian yang diberikan.

Kebimbangan terhadap fenomena ini turut mendapat perhatian penyelidik antarabangsa. Kajian awal oleh penyelidik daripada MIT Media Lab, termasuk Nataliya Kosmyna dan pasukannya, bertajuk “Your Brain on ChatGPT: Accumulation of Cognitive Debt when Using an AI Assistant for Essay Writing Task” yang terbit pada 2025, meneroka bagaimana penggunaan AI dalam tugasan penulisan mempengaruhi penglibatan kognitif pengguna.

Kajian tersebut membandingkan peserta yang menulis dengan bantuan ChatGPT, menggunakan enjin carian dan menulis tanpa bantuan teknologi. Dapatan awal mencadangkan penggunaan AI boleh mengurangkan tahap penglibatan kognitif dalam proses penulisan apabila pengguna terlalu bergantung kepada sistem tersebut.

Para penyelidik menggunakan istilah “cognitive debt”bagi menggambarkan kemungkinan kos intelektual apabila manusia terlalu menyerahkan tugasan pemikiran kepada AI.

Walaupun kajian tersebut masih pada peringkat awal dan memerlukan penyelidikan lanjutan, namun mesejnya amat relevan. Kemudahan teknologi tidak seharusnya menyebabkan manusia berhenti menggunakan keupayaan intelektual yang membezakan mereka daripada mesin.

Dalam bidang pendidikan, isu ini menjadi semakin penting. Pelajar yang menggunakan AI sekadar untuk mendapatkan jawapan segera mungkin berjaya menyiapkan tugasan, tetapi kehilangan proses pembelajaran yang sebenar.

Pendidikan bukan hanya mengenai menghasilkan jawapan yang betul, tetapi membina keupayaan membaca, menilai, berhujah dan mencipta idea baharu.

Di sinilah pentingnya prinsip “Iqra’ Before Your Prompt”. Perkataan pertama dalam wahyu Islam ialah Iqra’, yang membawa makna membaca, memahami dan mendalami ilmu.

Meneropong makna wahyu terawal, Tokoh Agama PERKIM Pahang, Dato’ Dr. Ahmad Munawar Abdul Jalil membawakan iktibar bahawa Iqra’ adalah bentangan ilmu yang menyeluruh iaitu menghubungkan rahsia alam lahiriah dan hakikat rohani berteraskan kebesaran Pencipta.

Dalam Islam, ilmu bukan sekadar perhiasan akal, malah paksi ketamadunan serta benteng kesempurnaan insan.

Ketinggian hakikat ilmu yang melepasi sempadan logik ini terbukti menerusi peristiwa mukjizat Isra dan Mi’raj, tatkala Rasulullah SAW diangkat menjelajah alam tinggi iaitu suatu pencapaian yang terus menjangkaui batas akal kasar manusia.

Kini, tatkala dunia menyaksikan ledakan AI, manusia sekali lagi diuji dengan keajaiban baharu yang merentasi batas pemikiran era lalu. AI merupakan anugerah intelek daripada Allah SWT, namun teknologi ini ibarat pedang bermata dua; sama ada ia bakal membawa rahmat atau bencana, segalanya bergantung kepada kebijaksanaan insan yang mengemudinya.

Lantaran itu, iktibar wahyu Iqra’ menjadi semakin signifikan dalam mendepani fenomena AI. Sebelum memberikan sebarang arahan kepada mesin, manusia perlu terlebih dahulu membaca, memahami isu, dan membina asas pemikiran sendiri.

Arahan yang berkualiti tidak lahir daripada kebergantungan buta kepada teknologi, sebaliknya dipacu oleh kedalaman minda yang berilmu.

Atas dasar itu, AI seharusnya dijadikan rakan intelek, bukannya pengganti keupayaan intelek. Walaupun ia berupaya memacu produktiviti, mempercepat penyelidikan, dan membuka perspektif baharu, pertimbangan nilai, keputusan akhir, serta pembentukan idea mestilah kekal berada di bawah kemudi fikiran manusia.

Pada akhirnya, cabaran terbesar dalam era teknologi bukanlah sama ada mesin mampu meniru penulisan manusia, tetapi sama ada manusia masih mahu berfikir sebelum mengarahkan mesin bekerja untuk mereka.

Masa depan tidak dipunyai oleh sesiapa yang paling bergantung kepada teknologi, sebaliknya dimiliki oleh mereka yang memanfaatkan AI tanpa mengorbankan daya membaca, menilai, dan berfikir secara mendalam.

Sesungguhnya, dalam era peradaban yang kian dipintarkan oleh teknologi, kelebihan hakiki seorang insan tidak lagi terletak pada kepantasan memberikan jawapan, tetapi pada kebijaksanaan mengemukakan soalan.

Dr. Siti Suriani Othman ialah Pensyarah Kanan Program Komunikasi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *