WROCLAW – Manchester United menamatkan kempen pramusim dengan kekalahan 2-4 kepada AC Milan kendalian bekas pengendali mereka, Ruben Amorim, dalam aksi di Wroclaw, Poland, awal pagi tadi.
Skuad kendalian Michael Carrick itu dua kali mendahului menerusi Harry Maguire dan Patrick Dorgu namun kelemahan di benteng pertahanan menghukum United apabila Milan meledak empat gol untuk mencatat kemenangan.
Maguire membuka jaringan seawal minit kedua selepas menanduk masuk sepakan sudut Bruno Fernandes dengan tandukan kencang.
Bagaimanapun, Milan menyamakan kedudukan selepas kesilapan pertahanan United membolehkan Goncalo Ramos menerobos ke dalam kotak penalti sebelum melorongkan bola kepada Samuel Chukwueze yang tenang menyudahkannya.
United berpeluang kembali di depan sebelum rehat selepas dihadiahkan sepakan penalti susulan Koni De Winter menarik Youri Tielemans di dalam kawasan penalti.
Namun, Fernandes gagal menyempurnakan peluang itu apabila penjaga gol Milan, Lorenzo Torriani, menyelamatkan sepakan kapten United berkenaan.
Ia adalah penalti kedua berturut-turut yang gagal disempurnakan Fernandes dalam aksi persahabatan selepas dia melepaskan peluang ketika menentang Leeds pada pertengahan minggu.
United bagaimanapun kembali mendahului selepas Dorgu memanfaatkan hantaran ke belakang yang lemah daripada Filippo Terracciano untuk menjaringkan gol kedua pasukannya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Milan sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan apabila rembatan tersasar Chukwueze terkena Alphadjo Cisse yang berada di tiang jauh sebelum menerjah gawang United.
Marcus Rashford kemudian dimasukkan pada minit ke-60 untuk membuat penampilan pertamanya bersama United sejak kembali daripada tempoh pinjaman di Barcelona.
Penyerang England itu sebelum ini dipinggirkan Amorim dan dipinjamkan ke Aston Villa sebelum berpindah sementara ke Barcelona.
Milan akhirnya melengkapkan kebangkitan pada minit ke-68 apabila Ramos menanduk masuk hantaran lintang Chukwueze untuk meletakkan mereka di depan buat kali pertama.
Tiga minit kemudian, bekas pemain tengah Chelsea, Ruben Loftus-Cheek, meluru melepasi pertahanan United sebelum menyumbat gol keempat Milan.
Kemenangan itu memberikan Amorim detik istimewa ketika menentang bekas kelabnya.
Pengendali dari Portugal itu dipecat United pada Januari lalu selepas 14 bulan mengendalikan pasukan, sebelum Carrick mengambil alih secara tetap.
Carrick, yang sebelum ini dilantik sebagai pengendali sementara, berjaya membawa United menamatkan musim lalu di tempat ketiga. – AFP
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
