MELAKA – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, perjuangan reformasi yang dimulakan hampir tiga dekad lalu kini memasuki fasa lebih penting apabila parti itu diberikan amanah untuk menentukan hala tuju pentadbiran negara.
Dalam ucapan dasar sempena Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka hari ini, Anwar mengimbas kembali ikrar perjuangan yang dicetuskan menerusi Deklarasi Permatang Pauh 28 tahun lalu, ketika gerakan reformasi memilih jalan sukar dengan menghimpunkan kekuatan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan wilayah.
Menurut Perdana Menteri, perjuangan tersebut sejak awal berteraskan cita-cita membina sebuah Malaysia yang lebih demokratik, adil dan manusiawi.
Beliau berkata, perjuangan itu juga meneruskan gagasan negarawan ulung, Allahyarham Dato’ Onn Jaafar yang lebih awal membayangkan pembentukan wadah politik yang mampu melangkaui batas kaum demi kepentingan dan masa depan negara.
“Perjalanan kita telah melalui jalan raya dan penjara, kekalahan dan kemenangan, serta pengkhianatan yang hampir memusnahkan harapan.
“Dahulu kita menuntut perubahan. Hari ini, setelah diberikan amanah menentukan arah negara, tanggungjawab kita adalah melaksanakannya,” katanya.
Anwar berkata, kestabilan politik yang dibina bersama rakan-rakan dalam kerajaan telah membolehkan beberapa perubahan penting dilaksanakan walaupun negara berdepan persekitaran ekonomi global yang amat mencabar.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan kejayaan kerajaan tidak boleh diukur hanya berdasarkan pencapaian ekonomi atau kestabilan pentadbiran.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sebaliknya, keresahan rakyat yang belum diselesaikan perlu diakui secara terbuka dan ditangani dengan keberanian serta kejujuran.
“Namun, kongres ini juga medan untuk kita bermuhasabah dan mengakui masih ada keresahan rakyat yang belum ditangani sepenuhnya. Kita mesti mendengar dengan terbuka dan memperbaiki segala kelemahan dengan jujur,” katanya.
Dalam ucapan itu, Anwar turut menegaskan, pertumbuhan ekonomi hanya mempunyai makna sebenar sekiranya manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
Katanya, kemasukan pelaburan ke negara tidak seharusnya dilihat semata-mata melalui nilai modal yang dibawa masuk, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti serta pendapatan yang lebih baik.
Beliau berkata, pelaburan yang masuk perlu menghasilkan pekerjaan dengan gaji yang bermaruah, manakala usaha kerajaan memperkukuh kedudukan fiskal negara pula harus memberi ruang kepada kerajaan meningkatkan mutu perkhidmatan asas.
Antaranya termasuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam, perumahan dan bantuan kepada keluarga yang benar-benar memerlukan.
“Pertumbuhan ekonomi hanya bermakna apabila rakyat merasai peningkatan dalam kehidupan mereka. Pelaburan mesti menghasilkan pekerjaan dan gaji yang bermaruah, manakala pengukuhan fiskal harus meningkatkan kemampuan kerajaan memperbaiki sekolah, hospital, pengangkutan dan perumahan serta membantu keluarga yang memerlukan,” katanya.
Anwar pada masa sama memberi penekanan terhadap usaha membanteras saki-baki kebobrokan dan penyelewengan yang berlaku dalam institusi berkaitan kepentingan rakyat.
Beliau secara khusus menyentuh isu yang pernah berlaku membabitkan institusi seperti Lembaga Tabung Haji dan FELDA, sambil menegaskan kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati menyeleweng atau mengkhianati amanah rakyat.
Menurutnya, perbuatan segelintir individu yang menyalahgunakan amanah akhirnya menyebabkan seluruh rakyat menanggung akibatnya tanpa mengira latar belakang kaum atau wilayah.
Beliau berkata, kesan daripada penyelewengan bukan hanya dirasai oleh satu kelompok masyarakat, sebaliknya membabitkan Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta seluruh rakyat Malaysia.
“Saya tegaskan, kita tidak akan melindungi atau membiarkan sesiapa terlepas, kerana perbuatan sakau segelintir manusia ini telah menyebabkan kita semua, sama ada Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta yang lain, terpaksa menanggung akibatnya,” katanya.
Anwar turut menyentuh kritikan yang dihadapi kerajaan dalam melaksanakan tindakan terhadap mereka yang didakwa melakukan penyelewengan.
Katanya, kerajaan akan tetap berdepan tuduhan sama ada bertindak terlalu lemah atau dianggap berdendam sekiranya mengambil tindakan tegas.
“Jika kita tidak bertindak, kita dituduh lemah dan mengkhianati reformasi. Kalau bertindak pula, kita dituduh berdendam. Katakanlah apa sahaja.
“Saya tegaskan, sesiapa yang menyeleweng dan mengkhianati amanah rakyat mesti berhadapan dengan hukum serta keadilan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan pendidikan, Anwar berkata, agenda reformasi pendidikan perlu memberi tumpuan kepada pembentukan generasi yang bukan sahaja mempunyai ilmu dan kemahiran, tetapi turut memiliki nilai, adab serta jati diri.
Katanya, pendidikan perlu melahirkan anak Malaysia yang mampu menguasai teknologi moden tanpa kehilangan nilai kemanusiaan, selain memahami sejarah dan budaya sendiri.
Beliau mahu generasi muda Malaysia mempunyai keyakinan untuk bersaing dengan masyarakat antarabangsa tanpa mengorbankan akar budaya dan identiti mereka.
Menurutnya, pendidikan tidak seharusnya hanya berorientasikan peperiksaan atau penguasaan ilmu teknikal, tetapi perlu membentuk manusia yang mampu berfikir, berakhlak dan berdiri sama tinggi dengan masyarakat lain di dunia.
Dalam ucapan sama, Anwar mengumumkan Kerajaan MADANI akan meneruskan reformasi dalam sektor pendidikan tinggi dengan cadangan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Beliau berkata, keputusan itu dibuat atas keyakinan mahasiswa Malaysia sudah cukup matang untuk diberikan ruang yang lebih besar dalam kehidupan kampus serta wacana masyarakat.
“Atas keyakinan terhadap kematangan mahasiswa, saya mengumumkan Kerajaan MADANI akan meneruskan reformasi ini dengan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
“Insya-Allah, cadangan pemansuhan ini akan dibawa ke Jemaah Menteri pada Rabu ini,” katanya.
Pengumuman itu menjadi antara perkara penting yang diketengahkan dalam ucapan dasar Presiden PKR berkenaan, khususnya berkaitan usaha memperluas ruang kebebasan dan tanggungjawab mahasiswa dalam sistem pendidikan tinggi negara.
Anwar turut memberikan mesej khusus kepada generasi pasca-reformasi dan anak muda supaya tidak melihat perjuangan yang dilalui generasi terdahulu sekadar sebagai sejarah atau nostalgia.
Sebaliknya, beliau mahu generasi baharu memahami sebab reformasi tercetus sebelum menentukan sendiri bentuk perjuangan yang sesuai dengan cabaran zaman mereka.
Katanya, beliau tidak mahu generasi muda terpaksa melalui segala kesukaran, tekanan dan liku perjuangan yang pernah ditempuh oleh generasi reformasi terdahulu.
Namun, pengalaman itu perlu dijadikan pengajaran untuk memahami nilai perjuangan, keberanian dan perubahan.
“Saya tidak mahu kalian melalui segala liku dan ranjau yang ditempuh oleh generasi kami, namun ibrah daripada perjuangan itu mesti difahami. Hayati mengapa reformasi bermula, kemudian tentukanlah maknanya untuk kalian,” katanya.
Beliau turut menyeru generasi muda supaya lebih berani mencabar pemikiran lama, termasuk pemikiran yang datang daripada generasinya sendiri.
“Saya mahu generasi ini lebih berani, lebih terdidik dan lebih bersedia mencabar pemikiran lama, termasuk pemikiran generasi kami sendiri,” katanya.
Anwar berkata, beliau masih bertekad untuk menyempurnakan agenda perubahan yang belum tertunai dan menyeru seluruh kekuatan PKR, Pakatan Harapan, parti-parti yang membentuk Kerajaan MADANI, badan dakwah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya terus berganding bahu dalam agenda berkenaan.
Menurutnya, perjuangan membina Malaysia yang lebih adil dan bermaruah tidak boleh digalas oleh satu parti atau satu kelompok sahaja.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
