Laporan Penuh RCI Tabung Haji Didedah Secara Telus, Tanpa Tapisan – Anwar

SEREMBAN – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) didedahkan kepada umum secara telus tanpa sebarang tapisan dan suntingan.

Beliau berkata kerajaan tidak memotong mana-mana aspek atau bahagian dalam laporan itu bagi memastikan umat Islam dan rakyat Malaysia dapat meneliti keseluruhan dapatan siasatan termasuk syor yang digariskan RCI sebagai pengajaran pada masa hadapan agar perkara sama tidak berulang.

“Tidak ada (tapisan). Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak memotong mana-mana aspek laporan itu…kita menerbitkan keseluruhan laporan itu, termasuk syor-syor dan proses dilalui sepanjang penyediaannya.

“Ini bermakna siasatan meliputi tempoh sebelum 2020. Dalam perbincangan ringkas Jemaah Menteri, terdapat pandangan supaya skop siasatan diperluas bagi meneliti perkembangan selepas tempoh itu. Kita mahu mengetahui dengan tepat apa berlaku selepas itu serta tindakan yang telah diambil pelbagai jawatankuasa, termasuk Lembaga Tabung Haji ketika ini,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Kariah Paroi Jaya, di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pihak yang bertanggungjawab mesti disiasat dan didakwa  mengikut proses perundangan serta sistem kehakiman yang berkuat kuasa.

Ditanya sama ada pendedahan laporan itu akan menjejaskan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan, Anwar berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta rakan-rakan dalam kerajaan menyokong keputusan untuk mendedahkan laporan berkenaan.

“Datuk Seri Zahid dan rakan-rakan dalam kerajaan, mereka menyokong pendedahan keseluruhan laporan itu. Jadi, tidak timbul soal kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan akan terjejas kerana Datuk Seri Zahid sangat terbuka membenarkan perkara ini dibincangkan dan diterbitkan.

“Memang saya yang mengemukakan cadangan itu, namun ia disokong dan dipersetujui Jemaah Menteri,” katanya.

Mengulas sama ada pendedahan laporan RCI itu mampu mempengaruhi sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 esok, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata langkah berkenaan bukan bertujuan meraih undi.

“Ini bukan soal meraih undi kerana isu ini terlalu besar. Sama ada pengundi dapat memahami keseluruhan isu ini dalam tempoh singkat, itu perkara lain. Bagi saya, sama ada menang atau kalah, perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan,” katanya.

Pada Rabu lepas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerbitkan Laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020. – BERNAMA

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *