PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima empat laporan melibatkan pemberian wang tunai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, setakat semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata laporan terbabit dibuat terhadap dua calon dan dua pengundi awal yang diterima pihaknya semalam.
“Perkara yang dilaporkan ialah aduan terhadap pemberian wang tunai dan kami akan menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Abd Halim berkata pihaknya akan mengkaji sekiranya aduan terbabit mempunyai unsur rasuah atau menjurus kepada kesalahan pilihan raya.
Sementara itu, Abd Halim berkata pihaknya telah membuka bilik gerakan sepanjang PRN negeri berlangsung.
Sebelum ini, aktivis politik Badrul Hisham Shaharim atau Chegubard mendakwa beliau menerima maklumat kononnya ada anggota pasukan beruniform termasuk polis menerima wang antara RM300 hingga RM500 semasa pengundian awal PRN Negeri Sembilan.
Susulan itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad dilaporkan berkata siasatan akan dijalankan dengan telus sekiranya ada laporan polis dibuat berhubung perkara itu dan jika laporan tersebut berkaitan dengan salah laku, pihaknya akan merujuk kepada SPRM. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
